Isu Palestin dan kecaman netizen antara faktor Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur ditunda lagi, kata Riezman Khuzaimi

Tiada tarikh baru ditetapkan selepas Konsert Milenia itu ditunda kali ketiga

3:06 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Konsert Goyang Asia Koplo Milenia yang telah dijenamakan semula kepada Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur terpaksa ditunda untuk kali ketiga susulan sentimen netizen terhadap isu Palestin.

Pengarah projek konsert berkenaan, Riezman Khuzaimi yang juga seorang pelakon senior memberitahu konsert itu ditunda tanpa tarikh yang ditetapkan kerana tiada sesiapa yang mampu menjangkakan bila isu Palestin ini akan berakhir.

“Kita terpaksa menunda konsert ini demi menghormati Palestin. Kita tidak mahu memberikan hiburan yang terlebih. Kalau benda lain saya boleh langgar namun apabila isu Palestin, saya sendiri tak sanggup untuk ‘melanggarnya’.

“Lagi satu sebab adalah kerana kecaman netizen di tahap yang melampau. Jadi, saya rasa biarlah kita redakan dulu keadaan. Saya tidak goyah. Tapi saya juga tidak sanggup dikecam kerana saya tidak larat melihat mereka (netizen) menanggung dosa.

“Saya tidak mahu menambahkan lagi bara sehingga menjadi api buat mereka. Sampai saya sendiri pun tak pergi menonton konsert Coldplay walaupun sudah mempunyai tiket,” katanya sewaktu ditemui di Malam Gala Filem Syif Malam, lewat malam semalam.

Menurut Riezman lagi, penundaan konsert itu telah memeningkan pihaknya selaku penganjur kerana terpaksa menyusun semula jadual artis-artis yang terlibat iaitu dari Malaysia dan Indonesia.

Ada juga pihak yang mencadangkan supaya Riezman membatalkan terus penganjuran projek Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur tersebut. – Gambar Empire Film Solution Sdn. Bhd, 28 November, 2023

“Nak susun semula jadual artis-artis Malaysia dan Indonesia yang terlibat di dalam konsert ini bukanlah suatu perkara yang mudah namun sebab benda dah mula, takkan kita nak hentikan. Ada jualan tiket atau tidak, kita tetap akan selesaikan konsert itu.

“Lagipun kita sudah buat pembayaran pada artis dan kita juga sudah keluar duit hampir RM500,000 tidak termasuk wang yang ditipu sewaktu melantik pihak konsultan.

“Sebabnya, bila kita diuar-uarkan semula tentang penganjuran konsert ini, kita buat semula promosi di radio dan sebagainya,” katanya.

Jelas Riezman lagi, ada juga segelintir pihak yang mencadangkan supaya dia membatalkan terus penganjuran projek Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur tersebut.

“Memang saya ada memikirkan hal ini juga. Tapi, bukan saya seorang yang terlibat di dalam projek konsert ini. Saya ada rakan kongsi.

“Kalau dibatalkan, ia melibatkan kewangan. Kalau rakan kongsi tidak setuju, kita terpaksa ikut. Tapi, mungkin sebagai rakan kongsi dia boleh fikir macam mana nak batalkan dan mungkin kita boleh cari jalan lain menggantikan kerugian kita terhadap projek konsert ini,” katanya.

Riezman turut menafikan dakwaan yang mengatakan tiket konsert itu tidak laku kerana dangdut sudah tidak relevan lagi pada masa sekarang.

“Bagi saya, dangdut adalah salah satu genre muzik yang akan kekal sampai bila-bila. Kalau tiket tidak laku, itu adalah di bahagian kita sebagai penganjur. Itu, risiko dalam perniagaan.

“Tapi, yang dah beli tiket kali pertama, masih lagi tak berganjak dengan tiket mereka. Bila kita buka jualan tiket kali kedua, masih ada orang membeli.

“Ada peningkatan dari sudut jualan tiket di situ, bermakna sambutan terhadap konsert dangdut ini memang ada. Bahkan, setakat ini, sudah lebih 1,000 tiket yang terjual.

“Namun, sebagai penganjur, kami tidak kisah soal untung rugi, asalkan kita dapat habiskan apa yang sudah kita mulakan. Kalau hanya 2,000 penonton yang datang pun kita tidak kisah,” katanya.

Ditanya jika ada peminat yang mahu mendapatkan semua bayaran tiket, Riezman berkata pihaknya tidak mempunyai masalah mengenai perkara berkenaan dan bersedia untuk membuat bayaran semula.

Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur anjuran Projek Mission Sight Sdn Bhd milik pelakon Riezman Khuzaimi bersama rakan kongsinya itu sebelum ini dijadualkan berlangsung di Stadium Malawati pada 30 September lalu, tetapi ditunda kerana sambutan Maulidur Rasul.

Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur dikenali sebagai Konsert Goyang Asia Koplo Milenia sepatutnya diadakan di Pusat Ekuestrian, Bukit Kiara pada 12 Ogos lalu tetapi ditunda selepas pihak konsultan yang dilantik didakwa gagal melaksanakan kerja.

Penjenamaan Konsert Goyang Asia Koplo Milenia dengan nama baharu Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur itu dilakukan bagi mengelakkan kontroversi dan persepsi lucah. – 28 November, 2023

Topics

 

Popular

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related