KUALA LUMPUR – Hubungan cinta pelakon Atiqah Suhaime, 32, dengan ahli perniagaan, Datuk Lokman Teh, 34, yang juga pewaris produk barangan penjagaan badan popular, bukan rahsia.
Ia mula terjalin sekitar Julai 2019 selepas diperkenalkan rakan mereka dan hingga saat ini, hubungan terbabit sudah memasuki usia empat tahun serta masih utuh.
Dalam laporan media pada 2020, Atiqah menyatakan bahawa dia dan Lokman akan memikirkan mengenai fasa seterusnya dalam hubungan mereka selepas berakhirnya Covid-19.
Sejak itu, ramai menantikan khabar gembira berkenaan untuk melihat Atiqah dan kekasihnya mendirikan rumahtangga, apatah lagi mereka dilihat sebagai pasangan sangat secocok dan serasi.
Terbaharu, Atiqah memuatnaik foto bersama Lokman yang berlatarbelakangkan masjid di Instagram miliknya.
Dalam foto itu, Atiqah mengenakan baju kurung warna putih dengan corak bunga bersama tudung bawal rona serupa, manakala Lokman berbaju kemeja petak dan bercelana hitam.
Foto itu ditulis dengan kapsten cukup ringkas tetapi ‘sweet’, ‘Baby (dengan tanda emoji hati) Lokman Teh’.
Justeru, ia mengundang tanda tanya dalam kalangan peminat, apatah ramai yang mengucapkan tahniah kepada mereka kerana beranggapan Atiqah sudah bernikah dengan Lokman.
Tapi, jika difikirkan secara logik, tidak mungkin pernikahan mereka diadakan seringkas itu.
Jika Lokman mampu meraikan hari lahir Atiqah dengan sambutan cukup gah, sudah tentulah pernikahan mereka tidak akan diraikan ala kadar.
Sementara itu, Lokman ketika menerima ucapan tahniah di InstaStorynya mengenai perkara terbabit daripada seseorang menjawab, dia ke masjid berkenaan untuk menunaikan solat. Haaa…Terjawab sudah! – 26 November, 2023