KUALA LUMPUR – Setelah berkhidmat selama lima tahun sebagai penyampai radio Sinar, sudah tiba masanya buat Elizad Sharifuddin untuk melepaskan jawatannya itu serta meninggalkan bidang penyiaran radio.
Elizad atau nama sebenarnya Siti Elizad Sharifuddin, 39, ketika dihubungi Scoop memberitahu, keputusannya untuk meninggalkan konti adalah kerana mahu aktif semula berlakon.
“Tujuan asal saya jadi penyampai radio adalah untuk mencari pengalaman dan saya kira tempoh sepanjang lima tahun berkhidmat dalam bidang penyiaran ini, banyak perkara baharu yang saya pelajari dan lalui.
“Saya rasa cukuplah dan sudah tiba masanya untuk saya kembali aktif dalam bidang lakonan semula. Kalau saya ‘lengahkan’ dan tidak mula lagi sekarang, umur saya dah berapa pula?
“Lagipun, jiwa saya pada lakonan dan saya juga suka berada di set dan terus terang, saya sudah tidak sabar untuk berlakon semula,” katanya.
Menurut Elizad, sepanjang bertugas sebagai penyampai radio, banyak tawaran berlakon drama dan filem terpaksa ditolaknya.
“Saya bertugas sebagai penyampai radio setiap Isnin hingga Jumaat. Kalau nak shooting (penggambaran) jauh-jauh macam di Langkawi atau Port Dickson, tak boleh. Sebab itu, saya terpaksa tolak tawaran berlakon.
“Itu yang saya rasa jiwa saya ini macam sia-sia kalau saya tidak kembali semula dalam bidang lakonan yang saya cintai ini,” katanya.
Sementara itu, Elizad berkata, pihak pengurusan radio Sinar sudah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut.
“Mereka faham jiwa saya pada lakonan dan memberikan sokongan penuh terhadap keputusan saya untuk meninggalkan bidang penyiaran radio,” katanya.
Mengakui hari ini adalah hari terakhirnya bertugas di radio Sinar, Elizad yang berkongsi berita itu di Instagramnya berkata, dia tidak mempunyai apa-apa perancangan selepas melepaskan jawatannya.
“Saya hanya menunggu tawaran berlakon dan karaktor yang bagus. Kalau ada, saya tidak akan tunggu lama untuk masuk ke set dan saya juga akan tetap terima tawaran untuk menjadi pengacara,” katanya.
Mula bertugas di radio Sinar pada 15 Julai 2019, Elizad diberi tanggungjawab mengendalikan segmen Pagi Di Sinar bersama Jep Sepahtu, Rahim dan Angah. – 24 November, 2023