Walau dapat peluang kedua kembali sihat, namun Esma Daniel trauma, takut serangan angin ahmar berulang lagi

Kata Esma, jika dia tidak bernasib baik, dia mungkin terpaksa hidup dalam keadaan yang cacat, lumpuh atau mungkin juga yang lebih teruk daripada itu

6:52 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pelakon Esma Daniel menyifatkan dia seperti diberikan peluang kedua oleh Allah SWT apabila dapat menjalani kehidupan seperti biasa semula selepas menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku di otak akibat serangan angin ahmar pada 11 November lalu.

Esma Daniel, 55, berkata, jika dia tidak bernasib baik, dia mungkin terpaksa hidup dalam keadaan yang cacat, lumpuh atau mungkin juga lebih teruk daripada itu.

Esma menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku di otak selepas dimasukkan ke wad kecemasan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). – Gambar Instagram Esma Daniel, 20 November, 2023

“Peluang kedua ini menyedarkan saya bahawa saya perlu mengubah gaya hidup dan kembali kepada DIA dan sentiasa ingatkan kematian.

“Paling menyentuh hati saya bila dapat pulang ke rumah untuk melakukan solat dan saya boleh bersujud kepada DIA.

“Berjurai air mata saya ketika itu. Sujud adalah sebuah nikmat yang diberi Allah. Itulah peluang kedua yang cuba saya maksudkan. Kalau saya cacat atau lumpuh, bagaimana saya hendak sujud?,” katanya sewaktu dihubungi Scoop.

Esma menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku di otak selepas dimasukkan ke wad kecemasan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pembedahan yang dilakukannya itu menggunakan teknik ‘trombektomi endovaskular’ iaitu teknik rawatan terkini untuk mengeluarkan darah beku yang menyumbat salur darah besar dalam otak.

Esma diserang angin ahmar ketika sedang menikmati makan malam bersama isterinya, Nur Atira Mazlan, 31, pada 10 November iaitu sehari sebelum dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan.

Ketika itu, isterinya mendapati pertuturan Esma tidak jelas, wajahnya jadi senget, tangannya juga tidak mampu memegang gelas minuman, bahkan dia juga hampir tumbang kerana tidak mampu berdiri dengan stabil.

“Pembedahan itu berlangsung selama satu jam sahaja dan kemudian selepas doktor melakukan CT Scan sekali lagi, darah beku itu sudah tiada.

“Saya kemudian ditahan lagi di hospital selama tiga hari kerana doktor masih mahu melakukan ECG dan ultra sound untuk memastikan jantung saya tidak terkait dengan serangan strok serta menjalani fisioterapi.

“Alhamdulillah, jantung saya berada di dalam keadaan yang baik dan pada hari keempat saya sudah boleh berjalan seperti biasa dan tidak perlu lagi melakukan fiosioterapi dan pada hari itu juga saya dibenarkan pulang,” katanya.

Biarpun sudah kembali sihat, namun Esma mengakui berdepan dengan trauma dan ketakutan andai dia akan berdepan lagi dengan serangan angin ahmar yang sama.

Jantung Esma berada di dalam keadaan baik dan pada hari keempat dia sudah boleh berjalan seperti biasa dan tidak perlu lagi melakukan fiosioterapi. – Gambar Instagram Esma Daniel, 20 November, 2023

“Perkara ini memang menghantui diri saya dan tidak mustahil ia boleh berlaku kepada saya lagi. Walaupun saya mendapat serangan angin ahmar yang sederhana namun penyakit ini perlu diambil secara serius.

“Bila kita ada darah beku, ia akan menyebabkan darah tinggi, itu yang bahaya. Organ dalaman dan otak akan rosak bila darah beku tersumbat dan ia menyebabkan serangan angin ahmar.

“Punca saya kena serangan ini adalah disebabkan stress yang tidak terkawal, kolestrol serta tidak makan ubat hypertension sekali pun saya tahu saya mempunyai darah tinggi.

“Jadi selepas berlakunya insiden ini, saya sudah mula ambil berat tentang kesihatan diri dan menjaga kolestrol dan serahlah diri kepada hospital untuk buat pemeriksaan. Jangan tunggu teruk baru hendak pergi,” katanya.

Esma yang kini sedang menjayakan penggambaran filem Perisik memberitahu, dia cuba berkongsi pengalaman yang dilalui ini kepada orang ramai supaya mereka sedar akan bahayanya angin ahmar dan apa yang perlu dilakukan jika mendapat serangan tersebut.

“Saya tidak ada niat untuk menjadi riak. Tapi, sebagai ‘public figure’, ia menjadi tugas saya juga untuk berkongsi dan menyebarkan kesedaran,” katanya yang baru sahaja menyertai acara larian, Sabtu lalu. – 20 November, 2023

Topics

 

Popular

Summoned five times: Nazri Aziz on facing US State Dept on Palestine, global issues

Former envoy shares how he used facts and United Nations’ principles to defend Malaysia’s independence

How will M’sia recoup US$248 mil from Riza Aziz after 1MDB suit withdrawal?: Guan Eng

Putrajaya, which entered a deal with Datuk Seri Najib Razak’s stepson as part of a global settlement on 1MDB asset recovery, must explain the public interest matter

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related