KUALA LUMPUR — Meskipun sebelum ini ada yang mengkritik Aina Abdul sebagai bercita-cita tinggi kerana mahu mengadakan konsert mega di Axiata Arena walaupun belum memiliki album, namun A Night With Aina Abdul 3.0, telah membuka mata semua pihak.
Malah konsert yang diadakan pada Sabtu lalu, menjadi saksi bahawa usaha keras serta percaya pada diri sendiri menjadi kunci kejayaan kepada Aina.
Tidak harus dilupakan walaupun baharu memiliki satu album sahaja namun Aina bukan calang-calang orang sebaliknya telah beberapa kali menjulang hadiah di Anugerah Juara Lagu.
Seramai 10,000 orang hadir pada Konsert A Night With Aina Abdul 3.0 dan menariknya banyak perkara menarik berlaku sepanjang konsert itu berlangsung.
Sosok ‘Aina Abdul’ berada di merata ceruk stadium pada malam itu di mana masing-masing tidak mahu kalah dalam bergaya. Ada peminatnya yang memakai bunga di kepala, ada yang membaluti tubuh dengan kapas ada juga yang meniru busana-busana yang pernah dipakai Aina.
Biarpun tiket tidak ‘sold out’, tetapi 98% berjaya dijual dan ia merupakan satu kejayaan kepada Aina.
Acara pada malam itu dibuka dengan bacaan doa untuk rakyat Palestin serta semoga majlis berjalan dengan lancar pada malam itu.
Aina membuka persembahannya dengan lagu Inggeris ‘Ghost’ diikuti dengan ‘Fool’ dan kemudian diselitkan dengan lagu Melayu berjudul Kelip-kelip dan Kamu sebelum disambung dengan tiga lagi lagu Inggeris berjudul ‘Bleed’, ‘Blue’ dan ‘Shadow’.
Sewaktu menyampaikan lagu ‘Blue’, Aina tiba-tiba menghentikan persembahan dan meminta untuk menyanyikan semula kerana dia mengalami masalah tidak mendengar bunyi di ‘ear monitor’.
“Maaf. Boleh ke kalau saya minta nak nyanyikan semula lagu ini kerana saya tak dapat dengar apa-apa di telinga saya. Saya tak mahu kecewakan anda semua dengan nyanyian yang tak bagus,” katanya saat menghentikan persembahan tersebut.
Persembahan pada malam itu dibahagikan kepada empat segmen. Segmen kedua menyaksikan Aina menyampaikan rangkaian lagu yang lebih bersifat galau. Antara lagu yang didendangkan adalah Bilang, Bukan Untukku, Sedia Terluka, Sepi serta sebuah lagu yang ditujukan khas buat Palestin iaitu Kasih Palestina.
Untuk segmen ketiga, Aina menyampaikan lagu-lagu Korea popular seperti ‘Beautiful’, ‘I Will Go To You Like The First Snow’ dan ‘How You Like That’. Dalam segmen yang sama, Aina memilih untuk menyanyikan lagu-lagu berentak tradisional yang didedikasikan khas buat Allahyarham biduanita negara, Datuk Sharifah Aini. Antara lagu yang didendangkan adalah Fatwa Pujangga, Bunga Tanjung dan Empat Dara.
Aina turut membuat kejutan pada malam itu dengan menjemput penyanyi Haziq Rosebi menyanyikan lagu duet bersamanya menerusi lagu Lemak Manis dan Joget Cinta Sakti. Selain Haziq, Aina turut menjemput dua lagi rakan duetnya iaitu Khai Bahar dan Lah Ahmad.
Untuk segmen terakhir, Aina mempersembahkan lagu-lagu dari album terbarunya seperti Kejam, Puas Sudah dan Jangan Mati Rasa Itu. Turut dinyanyikan pada segmen ini adalah lagu Semalam dan Terus Hidup yang banyak mengangkat kerjayanya ke peringkat yang lebih tinggi.
Selain vokalnya yang hebat, perkara yang pastinya mencuri tumpuan setiap kali Aina muncul di atas pentas tentunya busana-busana yang diperagakannya.
Pada malam itu Aina muncul dengan enam persalinan yang direka oleh enam pereka fesyen terkenal negara termasuk Rizman Ruzaini, Melinda Looi, Zaimi Zulkefli dan Ezuwan Ismail.
Paling menarik perhatian ramai tentunya gaun biru rekaan Zaimi Zulkafli yang menggabungkan elemen kejuruteraan apabila baju yang dipakai mampu mengeluarkan asap yang terhasil daripada ais kering, juga kelopak bunga yang boleh bergerak.
Semua busana yang digayakan itu mencecah RM400,000.
Pujian harus diberikan kepada ‘glam squad’ Aina Abdul yang diketuai penata gaya, Abu Shaef Hamza yang berjaya menyiapkan setiap ‘look’ Aina pada malam itu dengan tempoh waktu yang sangat singkat untuk setiap persalinan.
Pada malam itu juga Aina menggunakan tiga mikrofon berbeza warna yang dipadankan dengan warna busana bagi setiap persembahan.
Namun satu daripada mikrofon yang digunakannya pada malam itu mengalami masalah teknikal apabila suara Aina tidak kedengaran sehingga memaksa dia menukar mikrofon yang lain. Kesemua mikrofon tersebut bernilai RM120,000.
Di akhir persembahan, Aina mengumumkan konsert A Night With Aina Abdul akan dibawa ke Singapura pada awal tahun hadapan. Konsert ini akan menjadi konsert pertamanya di seberang tambak itu.
Sebahagian jualan tiket konsert akan disalurkan ke Tabung Kasih Prihatin, yang bakal memberikan manfaat kepada pelajar, golongan B40 dan mereka yang ditimpa musibah, bencana alam dan sebagainya. – 20 November, 2023