KUALA LUMPUR — Pelakon popular yang semakin meningkat naik, Amir Ahnaf menegaskan dia bukan perampas seperti yang didakwa segelintir pihak.
Menurut Amir atau nama lengkapnya Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 23, ada pihak yang menuduhnya merampas Anna Jobling daripada Meerqeen sejak mereka berlakon dalam drama terbaru, Syurga Itu Bukan Mudah.
“Ya ada yang berkata bahawa saya cuba merampas Anna daripada Meerqeen. Sejujurnya saya hanya bekerja bersamanya. Tiada istilah ‘rampas merampas’.
“Anna adalah seorang pelakon yang sangat bagus. Saya suka bekerja dengannya kerana dia seorang yang sangat profesional.
“Kali pertama bertemu dengannya sewaktu tanda tangan kontrak pun saya dah boleh rasa bahawa dia adalah pasangan lakonan yang baik untuk saya,” katanya ketika ditemui di sidang media drama Gamers Mangkuk.
Tambah pelakon yang dilahirkan menerusi program Hero Remaja 2021 ini lagi, dia juga tidak bermusuhan dengan Meerqeen, malah menerima kata-kata semangat daripada aktor itu.
‘Meerqeen pun memberi sokongan kepada saya. Dia cakap buat yang terbaik. Saya tak rasa ada situasi tegang yang berlaku di antara kami bertiga.
“Saya rasa yang mengapi-apikan adalah peminat masing-masing,” ujarnya.
Gosip hubungan cinta antara Amir dan Anna semakin hangat diperkatakan selepas dia dilihat mempertahankan Anna dalam sesi ‘live’ di media sosial.
Dalam sesi berkenaan, seorang netizen dikatakan telah mengeluarkan kata-kata yang tidak baik terhadap Anna, lalu Amir bertindak mengherdik netizen berkenaan.
“Dia mempermainkan nama arwah bapa Anna sedangkan bapanya baru sahaja meninggal dunia. Saya rasa itu sangat melampau. Bila saya tekan profilnya, saya lihat dia masih sangat muda.
“Dan saya sangat tidak suka dengan orang yang biadap. Saya rasa menjadi tanggungjawab saya untuk menegur netizen itu. Mungkin cara saya tegur dia agak kasar sedikit,” jelasnya.
Beralih ke soal kerjaya seni, Amir bakal muncul dengan drama terbaru terbitan Astro berjudul Gamers Mangkuk.
Dalam drama ini, Amir memegang watak sebagai seorang pemuda yang cemerlang dalam pelajaran tetapi memilih untuk menjadi ‘pro gamer’ dan menyertai pertandingan ‘E-Sports’.
“Drama ini sangat dekat dengan diri saya kerana dulu saya adalah seorang pelajar jurusan reka bentuk dan pembangunan permainan. Jadi saya sudah terbiasa dengan dunia ‘gamers’.
“Saya rasa sangat teruja untuk terlibat dengan drama ini. Ibarat saya balik semula ke dunia asal saya. Bila saya dapat sahaja skrip, saya terus muat turun permainan Mobile Legends dan mula mendalami permainan berkenaan,” kongsinya.
Drama Gamers Mangkuk akan mula ditayangkan di kaca televisyen pada 1 Disember ini menerusi saluran terbaru Astro Premier. – 17 November, 2023