‘Saya tak mahu ia jadi ikutan’, Aedy Ashraf perjelas mengapa dia simpan kisah berhenti sekolah selama 13 tahun

Aedy berkata, walaupun tidak menyambung pengajian, namun baginya pendidikan adalah aspek yang amat penting dalam kehidupan seseorang

9:47 PM MYT

 


KUALA LUMPUR – Pelakon Aedy Ashraf mendedahkan dia mempunyai sebab kenapa terpaksa merahsiakan kisahnya berhenti sekolah ketika di Tingkatan Empat, selama 13 tahun sebelum mendedahkan perkara itu kepada umum.

Menurut Aedy, sekiranya rahsia itu didedahkan terlalu awal, ia akan memberikan mesej serta implikasi yang negatif dalam kalangan peminatnya.

“Sebab kalau melihat kepada pengikut saya di Instagram mahu pun X, rata-rata mereka adalah adik-adik saya (lebih muda).

“Saya tidak mahu apa yang berlaku kepada saya itu menjadi ikutan. Kalau saya ada peluang untuk sambung belajar pada ketika itu, saya akan lakukannya.

“Tapi, saya tidak menyesal kerana berhenti belajar. Apa yang berlaku di dalam hidup saya sebelum ini sudah tertulis.

“Sukar untuk melaluinya. Ia bukan satu proses yang mudah tetapi saya bersyukur kerana mendapat sokongan yang kuat dari ibu dan keluarga,” katanya sewaktu ditemui di majlis tayangan perdana filem War on Terror: KL Anarki (WOT: KLA), hari ini.

Aedy atau nama penuhnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 30, juga memberitahu, walau apa jua tindakan yang diambilnya, dia tetap menganggap pendidikan adalah aspek penting dalam kehidupan.

“Saya tidak pernah cakap belajar atau pendidikan tidak penting. Bagi saya, ia sangat penting untuk semua orang dan saya juga menekankan bahawa kerja keras itu adalah penting.

“Tapi, saya tidak bernasib baik kerana tidak dilahirkan dalam keluarga berada dan ia telah menjadi halangan untuk saya meneruskan pelajaran.

“Tapi kalau anda di luar sana yang ada rezeki dan masa untuk sambung belajar, tolonglah lakukan kerana ia sangat penting,” katanya lagi.

Kekasih kepada pelakon dan model jelita, Amelia Henderson ini bagaimanapun memberitahu, biarpun tidak berpeluang untuk menyambung pelajaran namun dia sentiasa berusaha untuk menambah ilmu dan pengetahuan demi kemajuan dirinya.

Menurut Aedy, dia sentiasa berusaha untuk menambah ilmu dan pengetahuan demi kemajuan dirinya – Ellyna Ali/Scoop, 14 November, 2023

“Saya baca banyak buku, saya ambil kelas online. Saya suka lakonan dan pembikinan filem, jadi saya banyak beli buku-buku yang berkaitan untuk saya belajar. Bagi saya, belajar adalah suatu proses yang tidak akan pernah selesai,” katanya.

Tambah Aedy, dia pernah memohon daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk menyambung pengajian dalam pembikinan filem di New York Filem Academy di Los Angeles.

“Tapi, tidak ada rezeki kerana pada masa itu negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ia kemudian tertangguh. Apa yang saya lakukannya adalah dengan mengambil beberapa masterclass secara online,” katanya lagi.

Aedy sebelum ini mendedahkan dia tidak mempunyai SPM dan terpaksa berhenti belajar sewaktu berada di Tingkatan Empat demi menyara keluarganya yang dalam kesusahan ketika itu.

Dia berkongsi mengenai perkara itu ketika menjayakan program Studio Sembang yang dikendalikan pelakon Amelia Henderson di YouTube. – 14 November, 2023

Topics

 

Popular

RM13 bil Penang Mutiara Line LRT to boost connectivity, set for 2031 completion

The 29.5-kilometre line with 21 stations aims to enhance travel across Penang and drive economic growth

DBKL slices up Havoc Food Festival in Setapak as traffic complaints boil over

Nik Nazmi steps in after residents complain of congestion, authorities shut down unlicensed event

No instant KPI: BAM gives Herry IP time to shape Malaysia’s doubles future

BAM allows new men’s doubles head coach Herry Iman Pierngadi time to familiarise himself with the players, culture before expectations are defined

Related