KUALA LUMPUR – Penyanyi Naim Daniel tidak menyangka dia berpeluang menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku di hadapan seluruh masyarakat dunia pada acara perlumbaan MotoGP 2023 Petronas Grand Prix Malaysia (MotoGP Malaysia 2023) di Litar Antarabangsa Sepang.
Menganggap peluang itu sebagai penghormatan besar, Naim berkongsi mengenai kenangan terindah berkenaan melalui video di Instagramnya.
Di dalam video itu, Naim mengenakan baju Melayu putih cekak musang lengkap dengan samping songket hitam dan perak, serta bersongkok sambil menyanyikan lagu Negaraku di permulaan litar.
Persembahan itu disaksikan tetamu kenamaan, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid dan ribuan penonton secara langsung di situ dan melalui televisyen.
Naim membawakan lagu keramat itu dengan penampilan 10 pengiring yang mengenakan pakaian ala pahlawan Melayu.
“Diberi penghormatan untuk membuka gelanggang MotoGP 2023 dengan menyanyikan lagu keramat Negaraku.
“Tidak pernah terjangka dek akal untuk menyampaikan lagu kebangsaan ini buat tatapan seluruh penonton yang menyaksikan acara, sambil mengenakan baju Melayu di tengah hangatnya mentari Sepang hari ini.
“Kuasa Tuhan sungguh. Dirgahayu Malaysia,” tulisnya menerusi kapsyen.
Sementara itu, beberapa netizen yang menyaksikan acara itu litar berkenaan, memuji nyanyian Naim, malah menyatakan ia membuatkan bulu roma mereka meremang.
Pengulas sukan acara itu turut memuji persembahan Naim dan mengatakan lagu kebangsaan dinyanyikan dengan begitu indah.
MotoGP 2023 yang dianjurkan bagi kali ke-24 berlangsung dari 10 November hingga hari ini.
Pelumba Ducati Lenovo Team, Enia Bastianini merangkul kemenangan pertamanya musim ini, selepas memenangi perlumbaan Grand Prix Malaysia. – 12 November, 2023