Didakwa sebar propaganda Israel, Gal Gadot aktres paling dibenci dunia ketika ini?

Rabu lalu, Gal Gadot menganjurkan tayangan video serangan Hamas yang tidak mendapat sambutan serta mencetuskan kekecohan

4:47 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tindakan pelakon antarabangsa, Gal Gadot menganjurkan tayangan video memaparkan serangan Hamas di Museum of Tolerance di Pico Boulevard, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), didakwa menyebabkannya menjadi aktres paling dibenci masyarakat dunia ketika ini, sehingga ia trending di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter).

Rata-rata netizen meluahkan kekecewaan terhadap tindakan aktres Israel itu yang secara terang-terangan menunjukkan dia menyokong Zionis dan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Bahkan, netizen menyifatkan Gal Gadot hanya menjadikan Hollywood sebagai platform untuk menyebarkan propaganda pro-Israel kepada masyarakat AS.

Seorang netizen memberikan komen, “Saya gembira kerana tidak pernah mengeluarkan sesen pun untuk menonton tayangan ‘sampahnya’ itu di pawagam.”

Manakala, seorang netizen berkata, “Peringatan: Nama sebenar Gal Gadot adalah Gal Greenstein. Keluarganya mempunyai akar umbi Poland, Austria, Jerman dan Czech. Dia menukar nama belakangnya kepada Gadot, perkataan Hebrew untuk ‘tebing sungai’, supaya terdengar lebih keasliannya. Sekarang dia adalah ‘mesin propaganda’ untuk Zionis.”

Salah satu komen netizen tentang tindakan Gal Gadot menganjurkan tayangan video memaparkan serangan Hamas di Museum of Tolerance – Tangkapan layar X, 12 November, 2023

Netizen lain pula mengatakan, “Saya benci sesiapa sahaja yang menjadikan Gal Gadot terkenal dan sesiapa sahaja yang mengubah sejarah untuk menggambarkan populasi berjuta-juta orang yang ditindas/diperhambakan sebagai penjahat. Israel tidak melalui 0.01 peratus daripada apa yang menyebabkan rakyat Palestin lalui sejak 1948, tetapi (Israel) digambarkan sebagai mangsa tidak bersalah dan tidak berdaya.”

Sementara seorang netizen menegaskan, “Bukan sahaja dia (Gal Gadot) tidak berjaya mendapatkan sokongan mana-mana selebriti untuk menghadiri acaranya dan menyaksikan tempat duduk kosong di teater, malah Gal Gadot sendiri pun tidak menonton filemnya itu yang memaparkan mengenai propaganda Zionis dan pro-pembunuhan beramai-ramai.”

Pada Rabu lalu, aktres yang menjadi teraju utama filem Wonder Woman itu menganjurkan tayangan video serangan Hamas berjudul Bearing Witness.

Tayangan berdurasi 43 minit itu, memaparkan rakaman serangan Hamas yang berlaku pada 7 Oktober lalu.

Namun, berlaku kekecohan akibat pertelingkahan dua kumpulan mengenai tayangan itu di luar Museum of Tolerance di Pico Boulevard.

Malah, tayangan itu bukan sahaja tidak mendapat sokongan daripada rakan-rakan selebritinya yang lain, bahkan Gal Gadot sendiri tidak hadir pada acara berkenaan. – 12 November, 2023

Caption: Tindakan Gal Gadot menganjurkan tayangan video serangan Hamas bukan sahaja dikecam ramai, malah ‘mencalarkan’ reputasinya apabila didakwa menjadi aktres paling dibenci ketika ini.

Topics

 

Popular

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related