KUALA LUMPUR – Pelakon dan model Fathiya Latiff, meluahkan kekesalannya terhadap hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua kali sebatan dikenakan ke atas bekas Presiden Parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menerusi perkongsian di Instagramnya, Fathiya berkata, dia tidak bersetuju dengan hukuman itu.
“Saya percaya ini adalah satu tindakan tidak adil terhadap dirinya. Perlu diingatkan, keluhuran Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipandang remeh.
“Badan Kehakiman, saya dengan sopan menuntut pihak berwibawa untuk melihat Perkara 5 dan Perkara 8,” katanya yang turut mencadangkan pelaksanaan Kudeta (Coup d’ etat).
Di dalam hantarannya, Fathiya yang juga graduan Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, didakwa menyentuh kredibiliti hakim.
Gara-gara memuat naik kenyataan seperti itu, ia memakan dirinya sendiri.
Beberapa netizen membidas kenyataan berkenaan serta mempersoalkan pengetahuannya dalam bidang perundangan.
“Miss Fathiya, tidakkah anda malu? Pertikaikan hakim? Yang jauh lebih bijaksana dari anda?”
“Alamak babe, awak pernah belajar undang-undangkan? Kenapa macam tak faham Criminal Procedure Code (CPC) ni?”
“Awak perlu kembali ke sekolah undang-undang.”
Tidak kurang yang menyatakan mereka sanggup membuat laporan polis ke atas Fathiya kerana mengeluarkan dakwaan buruk terhadap hakim.
Namun, seorang netizen memaklumkan, dia sudah membuat laporan polis berhubung perkara terbabit ke atas aktres berkenaan.
“Laporan polis sudah dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.”
Akta itu berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain, iaitu seseorang yang menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar serta mewujudkan apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.
Hukuman diperuntukkan di bawah akta itu adalah denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. – 11 November, 2023