Fazley Yaakob tak sampai hati ‘smash’ Duta Sheila On 7

Kedua-dua selebriti itu akan berentap pada acara badminton, Tepok Bulu 2023 di Jakarta, Indonesia 17 November ini

3:41 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Selebriti dan cef popular, Datuk Fazley Yaakob, 45, mengakui dia tidak sampai hati untuk ‘smash’ Duta Sheila On 7 ketika mereka bertemu pada perlawanan badminton di acara Tepok Bulu 2023.

Fazley adalah antara selebriti dari Malaysia yang terpilih ke acara itu selain Imran Aqil, Atu Zero dan Atita Haris yang akan berlangsung pada 17 November ini di Jakarta, Indonesia.

Selebriti dari Indonesia pula ialah Duta Sheila On 7, Vincent Rompies, Arya Saloka dan Ziva Magnolya.

Menurut Fazley, dia yang akan berdepan Duta tidak sampai hati untuk memberi hantaran ‘smash’ kepada idolanya itu.

Fazley akan bergandingan dengan Imran Aqil sebagai pasangan regu untuk acara Tepok Bulu 2023 – Gambar Instagram Vindes dan Helmi Anuar, 11 November, 2023

“Bayangkan saya terpaksa berentap dengan idola saya sendiri. Saya rasa tak sampai hati nak ‘smash’ dia.

“Tetapi Duta bukan calang-calang pemain. Dia memang handal bermain badminton. Anak-anak dia juga pemain badminton,” katanya ketika ditemui pada sidang media Tepok Bulu 2023.

Ditanya kenapa menerima cabaran itu, Fazley berkata, awalnya dia menolak, tetapi bersetuju selepas dimaklumkan tujuan acara berkenaan diadakan.

“Acara ini diadakan untuk memperingati Stadium Istora Gelora Bung Karno yang tidak akan digunakan selepas ini. Stadium ini adalah stadium keramat bagi sukan badminton di Indonesia.

“Sewaktu kecil saya tinggal di Indonesia. Hampir setiap minggu saya pergi stadium ini bersama ayah saya untuk menonton perlawanan badminton. Jadi saya terima untuk mengimbau nostalgia,” ujarnya yang akan bergandingan dengan Imran Aqil sebagai pasangan regu.

Sebagai persiapan menghadapi perlawanan itu, keempat-empat selebriti terbabit dilatih jurulatih profesional yang juga bekas pemain badminton negara, Chan Chong Ming.

“Sejujurnya saya agak nervous (gementar) untuk perlawanan ini kerana biarpun ia sekadar hiburan, tetapi saya tetap membawa nama Malaysia.

“Tidak dinafikan saya sudah biasa main badminton secara perseorangan. Tetapi kali ini saya main beregu bersama Imran. Saya rasa agak mencabar kerana kami pun baru nak sesuaikan diri. Saya jadi semakin nervous bila tahu akan menentang Duta kerana saya tahu dia memang aktif sukan.

“Tambahan pula perlawanan ini ditonton jutaan orang. Tahun lepas sahaja ia ditonton 15 juta penonton di saluran YouTube,” kongsinya.

Sebanyak 7,000 tiket habis dijual dan acara terbabit juga boleh ditonton secara langsung menerusi YouTube Vindes yang menjadi penganjurnya.

Penyanyi popular Malaysia, Noh Salleh dipilih sebagai komentator acara terbabit bersama selebriti Indonesia. – 11 November, 2023

Topics

 

Popular

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Anwar’s plan: protecting Petronas and restoring the ringgit – Tuan Muda

How the prime minister’s reforms are taking shape in crucial institutions

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

Related