KUALA LUMPUR – Penyanyi rap, Altimet yang kini bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Ampang menyifatkan pembentangan Belanjawan Selangor 2024 sebagai satu belanjawan yang seimbang dan memberi penumpuan kepada soal kebajikan rakyat.
Altimet atau Syed Ahmad Syed Abdul Rahman juga berpendapat, menerusi pelbagai inisiatif yang ditawarkan dalam pembentangan belanjawan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, ia pasti akan memberikan kelegaan dan dapat dinikmati secara bersama dalam kalangan rakyat Selangor.
“Sebagai wakil Lembah Jaya, tentunya kita berkeyakinan Selangor akan maju ke depan terutama dengan pengumuman baki hutang negeri sebanyak RM19.2 juta yang terdiri daripada pinjaman Projek Bekalan Air dan Skim Amanah Saham Selangor (ASAS).
“Ia akan berjaya diselesaikan sepenuhnya pada tahun hadapan berlandaskan kebebasan kewangan cemerlang negeri Selangor, menunjukkan kemampuan pentadbiran yang padu berdasarkan tatakelola cemerlang Pakatan Harapan.
“Belanjawan yang dibentangkan juga memberi penekanan kepada kepentingan peranan wanita di Selangor dan institusi kekeluargaan yang menjadi tunjang bagi negeri bertuah ini,” katanya.
Altimet turut memuji pendekatan dan strategi perbelanjaan yang berkesan dan berhemah sehingga prestasi kewangan Kerajaan Negeri telah merekodkan lebihan kewangan sebanyak kira-kira RM427.2 juta.
“Hasilnya, Selangor mampu menggunakan kira-kira RM1.1 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala sebanyak 72.05 peratus atau kira-kira RM864.5 juta untuk perbelanjaan pembangunan,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Altimet turut mengucapkan tahniah kepada Amirudin atas pembentangan belanjawan yang konklusif kepada rakyat negeri Selangor.
Semalam, Amirudin telah membentangkan Bajet Selangor 2024 bertema Selangor Mandiri:Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan di Dewan Negeri Selangor. – 11 November, 2023