KUALA LUMPUR – Pelakon Jasmine Suraya, 34, nekad berehat dari dunia lakonan selama setahun kerana akan menyambung pengajian di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
Lebih membanggakan, Jasmine menjadi anak kelahiran Malaysia pertama yang terpilih menjadi pelajar di Lee Strasbergh Theatre and Film Institute di negara berkenaan.
“Sebenarnya memang menjadi impian saya untuk menuntut ilmu dalam bidang lakonan di institusi ini kerana untuk diterima melanjutkan pengajian di sini bukan mudah. Setiap calon perlu menduduki ujian dan temu duga. Saya juga perlu hantar dua esei menyatakan kenapa saya mahu menyambung pelajaran di sana.
“Antara selebriti popular pernah menuntut di sini adalah Angelina Jolie, Al Pacino, Scarlett Johansson, Chris Evans dan Lady Gaga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Brunch with Jasmine Suraya.
Disebabkan bakal terbang ke Los Angeles bulan depan, Jasmine terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan dari dalam dan luar negara.
“Saya pun tak tahu kenapa di saat saya sudah mahu lanjutkan pelajaran, banyak pula tawaran hadir. Malah, ada tawaran dari Indonesia, tetapi bila fikirkan, ini (sambung belajar di AS) memang impian saya sejak sekian lama, saya terpaksa lepaskan semua tawaran lakonan itu,” katanya.
Malah, dia tetap menguatkan semangat kerana jangka masa setahun itu sebenarnya tidak lama.
“Ini semua demi tuntut ilmu dan peluang yang pada saya, tidak mungkin diperoleh sekali lagi.
“Saya juga dapat sokongan daripada keluarga dan syarikat pengurusan Mask Team. Selepas tamat pengajian, saya bakal menaikkan profil kerjaya saya pada satu tahap lebih baik dalam bidang lakonan,” jelasnya.
Menyedari kos melanjutkan pelajaran di luar negara tinggi, iaitu kira-kira RM300,000, Jasmine berharap mendapat bantuan daripada kerajaan Sarawak, iaitu negeri kelahirannya.
“Saya adalah anak kelahiran Sarawak pertama yang terpilih melanjutkan pelajaran di institusi ini. Saya sudah hantar surat permohonan dana kepada beberapa agensi kerajaan dengan harapan ada yang membantu saya.
“Setakat ini belum ada apa-apa maklum balas dari mana-mana pihak. Jika tidak dapat saya terpaksa keluarkan wang sendiri,” katanya.
Menjadikan Tan Sri Michelle Yeoh sebagai idola dan inspirasinya dalam lakonan, Jasmine berharap berpeluang melebarkan sayapnya di Hollywood serta membawa pulang ilmu dipelajari bagi memperhebat industri lakonan di Malaysia. – 10 November, 2023