SHAH ALAM – Penyanyi yang juga peserta All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Siti Nordiana terpaksa akur apabila mendapat lagu bahasa Inggeris sebagai tugasan untuk konsert minggu kelapan.
Untuk konsert minggu kelapan, kesemua peserta diberikan lagu oleh juri tetap iaitu Datuk Ramli MS sebagai cabaran buat mereka.
Menurut Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, lagu bahasa Inggeris memang tiada dalam senarai lagu pilihannya.
“Saya memang terkejut apabila dapat lagu Baby One More Time, nyanyian Britney Spears. Tapi saya dah boleh agak akan dapat lagu Inggeris daripada Tok Ram kerana kelemahan saya lagu dalam bahasa itu.
“Kadang-kadang saya sendiri tak faham apa yang Tok Ram cakap dengan saya. Dan saya akan minta dia cakap bahasa Melayu. Tetapi bukan bermakna saya tak faham bahasa Inggeris langsung. Ada beberapa perkataan yang saya tak tahu,” katanya kepada Scoop.
Tambah Nana lagi, lebih membimbangkannya adalah cara sebutan sesuatu perkataan dalam bahasa itu dengan betul dan juga staminanya.
“Seperti yang semua tahu lagu ini rentaknya bagaimana. Jadi saya kena beraksi lincah di atas pentas. Waktu saya menyanyi lagu Temberang dulu pun saya agak ‘struggle’ (bergelut). Kali ini kena jadi lebih nakal.
“Saya akan tonton beberapa video Britney Spears lihat bagaimana dia buat persembahan lagu ini sebagai rujukan,” katanya.
Persembahan Nana di konsert minggu ketujuh ketika menyampaikan lagu Tiada Kepastian nyanyian asal Ziana Zain turut mendapat pujian daripada barisan juri tetap, yang menyifatkan nyanyiannya hampir sempurna. – 8 November, 2023