KUALA LUMPUR — Penyanyi terkenal Indonesia, Opick bakal beraksi bersama bekas gitaris Sheila On 7 iaitu Sakti dalam Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi, yang diadakan di Zepp Kuala Lumpur, pada Sabtu ini.
Menariknya, ini kali pertama Sakti atau Salman Al Jugjawy kembali beraksi di sebuah konsert besar selepas meninggalkan Sheila On 7 pada 2006.
Menurut penganjur konsert itu, Iman Tang, agak sukar untuk memujuk Sakti terlibat dengan konsert ini kerana dia susah terlalu lama meninggalkan dunia seni hinggakan ramai yang tertanya-tanya keberadaannya.
![](https://www.scoop.my/canon/uploads/2023/11/instagram-819x1024.jpg)
“Kami telah berbincang dengannya dan beritahu tentang arah tuju konsert ini dan ia bukan konsert biasa. Ini adalah persembahan di mana dia boleh berdakwah. Penonton bukan sahaja ingin lihat persembahannya, tetapi juga ingin dengar dia berbual bersama penonton,” katanya sewaktu sidang media di atas talian.
Ditanya apakah syarat-syarat yang ditetapkan oleh dua selebriti ini untuk mereka bersetuju, kata Iman kedua-dua mereka meminta untuk menginap di hotel yang berdekatan dengan masjid.
“Saya rasa ini kali pertama artis ‘request’ nak tinggal di hotel berdekatan dengan masjid. Jadi kami usahakan untuk dapatkan hotel yang berdekatan dengan masjid untuk mereka,” kongsinya.
Sementara itu, Sakti pula berkata dia menerima tawaran untuk terlibat dengan konsert ini kerana konsep itu mengetengahkan lagu-lagu ketuhanan.
“Sebagai bekas pemain gitar secara komersial, lamaran untuk terlibat dalam konsert ini jujurnya agak menakutkan saya yang sudah berbelas tahun tidak bermain di pentas.
“Namun bila difikirkan, saya mahu sama-sama menyebarkan dakwah dengan cara yang paling tidak menakutkan. Saya mahu memberikan manfaat sama seperti Opick.
“Saya harap apa yang kami bakal persembahkan nanti bukan sahaja sampai ke telinga pendengar, tetapi juga hati,” katanya.
Ditanya adakah kemunculan semula dalam bidang muzik membuatkan segelintir pihak memandang serong terhadap penghijrahannya, Sakti berkata tidak semua muzik itu melalaikan.
“Muzik itu ibarat sebilah pisau. Jika kita guna pisau untuk momotong daging untuk dimasak dan beri orang makan, maka baiklah ia. Jika digunakan untuk merompak dan melakukan kecelakaan, maka buruklah ia.
“Begitu juga dengan muzik. Ada muzik yang mampu melembutkan hati, membuatkan kita berasa damai dan mengajak kita melakukan kebaikan,” ujarnya.
Bagi Opick pula, dia sangat kagum dengan rakyat Malaysia yang menyukai muzik yang berunsurkan ketuhanan.
“Kali terakhir saya terlibat dengan konsert di Kuala Lumpur adalah ketika konsert Bulan Bintang. Ketika itu di sebelah ada konsert Blackpink. Tetapi konsert kami turut sold out dan dihadiri oleh 16,000 penonton . Semangat kerohanian rakyat Malaysia sangat luar biasa,” kongsinya.
Dibawakan oleh Icon Entertainment, konsert ini akan turut menampilkan beberapa penyanyi dari Malaysia antaranya Fazura, Amir Masdi, Zizi Kirana, UNIC, Adi Priyo dan Yabang Khalifah. – 7 November 2023