KUALA LUMPUR – Penyanyi yang kini bergelar pakar motivasi, Nourul Wahab, 46, mengambil pendekatan kunci mulut mengenai hubungannya dengan anak sulungnya, Ayu Nazirah, 23, yang didakwa agak dingin sebelum ini.
Menurut Nourul, perjumpaan bersama pihak media melalui Zoom Meeting adalah untuk membicarakan mengenai acara Fire Talk anjurannya yang akan diadakan di sini pada 25 November ini.
“Tapi, saya tahu pasti ada yang bertanyakan kepada saya soalan ini. Saya tidak mahu komen apa-apa buat masa sekarang kerana saya tidak mahu ia berlarutan.
“Salah satu inspirasi saya adakan Fire Talk ini adalah kerana terdapat ibu yang mempunyai masalah dengan anak-anak yang sedang membesar.
“Ramai yang DM (mesej) saya di Instagram dan meluahkan keadaan ini. Mereka bercakap mengenai kesedihan, keperitan, bagaimana nak menangani hal ini dan bagaimana mereka harus jadi kuat,” katanya yang kini menetap di Bali bersama suaminya, Eric Daniel Depp.
Nourul juga berkata, cabaran dilaluinya menjadi inspirasi untuk membantu segelintir wanita yang berdepan situasi sama.
Jelasnya, sebagai manusia, seseorang itu pasti akan melalui perkara sukar dalam hidup yang membuatkan diri berasa dicabar.
“Tidak kiralah siapa yang cabar. Mungkin dalam kerja, famili atau anak kita sendiri, kita akan dicabar. Kita ada ujian kita.
“Saya percaya, setiap ujian yang kita lalui, ada sesuatu yang besar yang Tuhan nak bagi kepada kita, walaupun ujian itu datang dari anak atau keluarga sendiri,” katanya.
Nourul bagaimanapun mengakui, hanya menyerahkan segalanya kepada masa dan Allah SWT sahaja untuk menentukan segalanya.
“Time will tell (masa akan menentukan),” katanya ringkas selain mengakui ada berhubungan dengan Ayu sekali-sekala.
Konflik mengenai Nourul dan anaknya, Ayu mula timbul apabila penyanyi kelahiran Pulau Pinang itu meluahkan perasaan terhadap perubahan sikap anaknya itu melalui hantaran di Instagramnya pada September lalu.
Melalui perkongsiannya itu, Nourul seolah-olah memberikan gambaran bahawa dia sedang berkecil hati dengan anak perempuannya itu yang didakwa seolah-olah meminggirkan dirinya selepas mempunyai ‘ibu baharu’.
Ayu adalah anak Nourul hasil perkongsian hidupnya dengan komposer Ajai dan mereka berpisah pada 28 Februari 2007.
Nourul kemudian mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama Eric yang berasal dari Perancis pada 6 Jun 2012 dan dikurniakan tiga cahaya mata. – 8 November, 2023