KUALA LUMPUR – Penyanyi dan bekas naib juara Akademi Fantasia Musim 8, Maulana Mohamed mengakui sejak pertama kali menjejakkan kaki ke Gaza, sudah hampir 12 tahun dia tidak menjamah hidangan di restoran makanan segera yang diboikot rakyat Malaysia ketika ini.
Bahkan, kata Maulana, sepanjang tempoh tersebut, dia langsung tidak mempunyai keinginannya untuk membeli makanan ditawarkan di premis berkenaan.
“Keluarlah apa kenyataan apapun untuk mempertahankan M*** Malaysia itu, saya tidak kisah pun.
“Ada orang tanya lima peratus royalti itu betul ke mereka beri pada Israel? Saya pun nak tanya betul ke mereka tidak ada beri kepada Israel?
“Ada yang cakap kesian pada pekerja di resoran makanan segera yang bekerja dekat sana nanti kena berhenti kerja nak beri keluarga makan apa?
“Yang beri rezeki, M**** itukah atau Allah SWT? Banyak dah sahabat saya berhenti kerja disana dan Allah SWT gantikan dengan kerja lebih baik, perniagaan yang sukses,” katanya.
Menurut Maulana, kalau hendak memperkatakan tentang boikot, bukan hanya setakat premis makanan atau produk minuman lain terlibat.
“Kalau nak tahu hubungan perdagangan Malaysia dengan sekutu Israel ini paling besar apa? Tu yang kita tengah pakai chip dalam komputer, telefon bimbit, tablet kita iaitu Intel.
“Kita tak mampu nak boikot semua, kita boikot yang kita mampu sajalah. Setidak-tidaknya ada usaha kita menunjukkan solidariti bersama rakyat Palestin.
“Siapa nak boikot silakan boikot, dan siapa yang tak nak boikot tak perlu memperkecilkan usaha orang yang boikot. Sepatutnya kita bersatu dalam isu Palestin ini. Tapi di Malaysia, masing-masing berbalah pasal isu boikot,” katanya lagi.
Maulana berkata, sikap rakyat Malaysia berbalah mengenai isu boikot membuatkan dirinya berasa malu dengan negara bukan Islam lain yang bersungguh-sungguh memboikot produk Israel.
“Sampai tahap mereka keluarkan produk asli dari negara haram Zionis ini. Ireland yang bukan negara Islam pun bersungguh-sungguh memperjuangkan isu Palestin dan boikot produk yang menyokong negara haram Zionis.
“Tetapi perjuangan Palestin di bumi Malaysia ini masih bertelagah mengenai isu boikot, qunut nazilah dan juga penggunaan ayat takbir,” katanya.
Sementara itu, Maulana turut memaklumkan penduduk di Gaza amat mengagumi usaha Malaysia menghantar bantuan ke wilayah itu tetapi pada masa sama kecewa apabila masih ada segelintir pihak bertelagah mengenai isu boikot.
“Belum lagi sampai tahap nak kena angkat senjata pegi lawan Zionis lagi ni. Sudah-sudahlah berdebat pasal isu boikot ni. Kalian nak boikot, Alhamdulillah. Tak nak boikot pun, itu hak kalian,” katanya. – 5 November, 2023