Dilema pelakon veteran, tiada tawaran sejak berbulan lamanya, watak ibu digantikan dengan pelakon muda

'Trend' mengambil pelakon yang lebih muda untuk berlakon sebagai ibu telah menyebabkan pelakon veteran tersisih dan hilang punca pendapatan

8:00 AM MYT

 

PUTRAJAYA — Kisah pelakon veteran tidak menerima sebarang tawaran lakonan bukanlah sesuatu yang baru. Kemelut ini berlaku sejak sekian lama namun situasi ketika ini semakin meruncing.

Ramai artis veteran mengadu mereka sukar mendapat peluang untuk berlakon. Antaranya ialah pelakon Mak Wan Latah yang meluahkan kesedihan kerana sudah lebih setahun tidak menerima sebarang tawaran lakonan.

Begitu juga dengan Delimawati yang pernah popular dengan watak Hantu Kak Limah. Delimawati, yang berusia 65 tahun, mengakui sudah lebih tujuh bulan tidak menerima tawaran.

“Disebabkan tiada tawaran lakonan, maka saya pun jarang pergi ke majlis seni. Kalau nak keluar, perlukan modal untuk mengisi minyak, tol dan membayar parkir.

“Disebabkan jarang keluar TV, ramai yang ingat saya sudah tidak aktif berlakon lagi. Sedang saya aktif, cuma tidak diperlukan sahaja,” katanya.

Kongsi Delimawati lagi, dia kini menetap bersama anak bongsunya dan mengharapkan menantu untuk menanggung mereka sekeluarga.

“Anak perempuan saya tidak bekerja. Seperti yang semua tahu, tiga lagi anak saya telah meninggal tahun ini dan tahun lepas. Semua anak lelaki saya dah tak ada,” katanya.

Mengulas mengenai trend ketika ini di mana watak ibu dilakonkan oleh pelakon muda, Delimawati berkata, artis veteran tiada pilihan selain akur dengan keadaan terbabit.

Delimawati yang berusia 65 tahun, mengakui sudah lebih tujuh bulan tidak menerima tawaran – Helmi Anuar/Scoop, 4 November, 2023

“Bayangkan dulu mereka berlakon sebagai anak saya tetapi kini mereka pula yang melakonkan watak ibu. Kasihanlah pelakon veteran seperti kami yang memerlukan pendapatan untuk membayar sewa rumah dan perbelanjaan lain,’’ kata Delimawati.

Tidak terkecuali ialah pelakon veteran, Fadhilah Mansor, 64. Pasti ramai yang tidak menyangka bahawa Fadhilah juga pernah melalui pengalaman tidak mendapat tawaran lakonan selama lapan bulan biarpun wajahnya sering kali menghiasi kaca televisyen.

“Sekarang ini, Alhamdulillah saya sedang menjalani penggambaran sebuah drama selepas hampir lapan bulan tiada ‘job’. Kalau dulu boleh dikatakan tawaran itu back to back. Tetapi sekarang agak perlahan.

“Saya pun tidak tahu kenapa situasi ini terjadi. Tetapi, saya sangat terasa impak daripada keadaan ini. Kawan-kawan pun ramai juga yang mengadu sudah lama tiada tawaran lakonan,” kongsinya.

Fadhilah Mansor berkata, biarpun menerima bayaran yang lebih rendah berbanding pelakon yang jauh lebih muda namun dia tidak kisah asalkan mereka ada ‘job’ – Helmi Anuar/Scoop, 4 November, 2023

Disebabkan terlalu lama tidak menerima tawaran lakonan, Fadhilah terfikir namanya mungkin sudah disenarai hitam oleh stesen televisyen.

“Saya sempat terfikir sebegitu. Tetapi bila difikirkan ramai lagi kawan-kawan yang mengalami nasib yang sama, takkanlah mereka pun kena senarai hitam,” jelasnya.

Fadhilah juga berkata, biarpun menerima bayaran yang lebih rendah berbanding pelakon yang jauh lebih muda namun dia tidak kisah asalkan mereka ada ‘job’.

“Lebih baik ada ‘job’ daripada tiada langsung. Soal harga, bukannya kita letak terlalu tinggi. Tetapi janganlah ambil kesempatan dengan memberikan bayaran yang rendah. Biarlah setanding kerja yang dilakukan,’’ tegasnya.

Kata Margaret Gan, sebagai pelakon berbangsa Cina, tawaran untuknya agak terhad dari segi watak, apatah lagi sekarang dia sudah memeluk agama Islam dan bertudung – Helmi Anuar/Scoop, 4 November, 2023

Baru sahaja bergelar saudara baru sejak tahun lalu, aktres veteran, Margaret Gan mengakui sudah lama tidak mendapat tawaran berlakonan sejak belum memeluk Islam lagi.

“Sebagai pelakon berbangsa Cina, tawaran untuk saya agak terhad dari segi watak. Dulu saya selalu berlakon sebagai wanita Cina. Tetapi kini sejak memeluk Islam dan pakai tudung, saya dah tak boleh bawa watak perempuan Cina lagi kecuali mualaf,” katanya. – 4 November, 2023

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

Evacuation ordered after bomb threat at Tourism Ministry complex in Putrajaya

Police bomb squad, Fire Dept at scene after suspect package delivered to building

Related