KUALA LUMPUR – Kemunculan Aishah Al Iman di dalam video muzik Wany Hasrita untuk single terbaharu, Cinta Hatiku yang baru dilancarkan di platform YouTube membuatkan ramai peminatnya teruja.
Apa tidaknya, di dalam video muzik itu, mereka dapat melihat sendiri betapa tulus dan murninya kasih dan sayang Wany Hasrita terhadap anak sulungnya yang berusia empat bulan itu.
Dan, lagu itu pula memang dizahirkan buat anaknya itu yang telah membawa kebahagian yang cukup besar serta bermakna buat Wany dan suami, Mohd Al Adib Fahmi.

Menjelaskan perkara itu, Wany berkata, dia sangat bersyukur dan berterima kasih kepada suami yang dikasihi kerana memahami serta mengizinkan penglibatan Aishah dalam video muzik, Cinta Hatiku.
“Aishah masih sangat kecil, jadi Wany perlu meminta persetujuan suami dulu. Alhamdulillah, saya telah dikurniakan suami yang penyayang serta memahami tuntutan kerjaya seni saya,” katanya.
Jelas Wany lagi, dia memang berhasrat untuk merakamkan lagu yang membawakan kisah tentang cahaya mata dan hubungan kasih sayang antara seorang ibu dan anak.
“Saya telah meminta label muzik saya, FMC untuk merakamnya dan mereka setuju dan proses rakaman telah dilakukan sebanyak dua kali iaitu pertama sewaktu saya hamil 37 minggu dan kali kedua, disambung selepas saya selamat melahirkan Aishah.
“Sewaktu merakamkan lagu itu dalam keadaan hamil, saya dapat rasakan kehadiran Aishah ketika di studio. Sukar untuk digambarkan perasaan saya ketika itu, tetapi saya cukup teruja kerana itulah kali pertama saya merakamkan lagu dengan ditemani seseorang,” katanya.

Sambung Wany lagi, kehidupan sebelum dan selepas bergelar ibu memang sangat berbeza dan dia juga masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan kehidupan baru.
“Bila saya tengok Aishah senyum, terus hilang semua rasa penat malah adakalanya apabila melihat dia senyum, membuatkan saya menangis,” katanya.
Wany juga memaklumkan bahawa, buat masa ini, dia masih berulang alik dari Kuala Lumpur Ke Kuching bagi memenuhi tanggungjawab kerjaya seni dan keluarga.
“Di masa depan, saya mungkin akan terus menetap di Kuching bersama suami dan anaknya. Jika ada tuntutan kerja, saya akan terbang balik ke Kuala Lumpur,” katanya. – 3 November, 2023