PUTRAJAYA – Aktres veteran, Delimawati memegang erat pesanan arwah Mamat Khalid padanya yang meminta supaya dia tidak menerima watak hantu lain selain Hantu Kak Limah yang telah melonjakkan namanya.
Menurut aktres berusia 65 tahun ini, dia juga enggan menerima watak hantu lagi selepas ini.
“Saya dah tak nak bawa watak hantu. Arwah Mamat kata watak Hantu Kak Limah yang saya bawakan dulu sudah terlalu kuat.
“’Kau jangan ambil watak hantu lain,” katanya. Jadi, saya pegang pesanannya itu,” katanya ketika ditemui di majlis penyerahan sumbangan untuk artis veteran di sini.
Tambah pelakon Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel ini lagi, sejak arwah Mamat meninggal dunia, dia sudah jarang menerima tawaran lakonan.
“Sudah lama saya tidak keluar pergi ke mana-mana majlis. ‘Job’ pun dah tak ada sekarang. Sudah lebih tujuh bulan saya tak terima tawaran lakonan.
“Sejak arwah Mamat tak ada, memang ‘down’. Arwah banyak naikkan nama saya melalui karya-karyanya sehingga dikenali ramai.
“Sekarang ini, orang ingat saya sudah tidak aktif berlakon lagi. Ramai juga peminat yang bertanya di Facebook sama ada saya sudah tidak berlakon. Saya masih berlakon, cuma tidak diperlukan,” kongsinya.
Ditanya adakah dia ada menerima sebarang tawaran lakonan daripada anak arwah Mamat Khalid iaitu Amen Khalid, kata Delimawati dia belum terima sebarang tawaran lagi.
![](https://www.scoop.my/canon/uploads/2023/11/rombongan-cik-kiah-poster-1024x576.jpg)
“Dulu anak arwah pernah bercerita pada saya tentang hasratnya untuk menghasilkan beberapa filem antaranya Raja Bersiong. Tetapi belum berkesempatan. Mungkin jika jadi nanti, ada tawaran daripadanya,” ujarnya.
Bersama Mamat Khalid, Delimawati telah membintangi beberapa buah karya yang mendapat tempat di hati peminat tempatan. Antaranya, filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, Husin, Mon & Jin Pakai Toncit dan telefilem Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel serta Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya.
Disebabkan populariti luar biasa yang diterima menerusi watak Hantu Kak Limah, Delimawati turut tercalon di Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-32 pada tahun 2019 bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular. – 2 November, 2023