KUALA LUMPUR – Pertandingan pencarian bakat muda, Dewi Remaja dan Hero Remaja sememangnya dinantikan peminat saban tahun bagi melihat bakal pelapis industri yang memiliki pakej menarik.
Ia kerana pertandingan dianjurkan sejak lebih 30 tahun itu, melahirkan nama besar, antaranya Scha Al-Yahya, Neelofa, Fattah Amin, Nadhir Nasar dan Mierul Aiman.
Pentas Dewi Remaja dan Hero Remaja itu juga bukan sahaja melahirkan ramai anak seni dalam dunia hiburan, malah ikon dalam bidang fesyen dan bisnes.
Terkini, penganjurannya melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya pada tahun ini, kedua-dua pertandingan berkenaan digabung menjadi HeroDewi Remaja 2023.
Seramai 16 finalis terpilih dalam kalangan 1,300 peserta yang menghadiri sesi uji bakat di seluruh Malaysia.
Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari berkata, idea menggabungkan kedua-dua pertandingan itu tercetus apabila pihak produksi merasakan peminat harus menanti terlalu lama untuk setiap edisi diadakan.
“Peminat perempuan nak tengok Hero Remaja, peminat lelaki pula mahu tonton Dewi Remaja, (tetapi) untuk tunggu setiap musim bagi setiap pertandingan (diadakan), mungkin ambil masa. Jadi, kami gabungkan kedua-duanya sekali.
“Gabungan ini memberikan nafas baru kepada jenama Dewi Remaja dan Hero Remaja. Anda juga bakal melihat dinamik berbeza untuk pertandingan kali ini kerana ada gabungan lelaki dan wanita,” katanya.
Ditanya tidakkah pihak produksi merasakan jarak masa pertandingan ini terlalu dekat dengan musim sebelumnya, malah masih ada bekas peserta musim lalu yang ‘suam-suam kuku’, Idlan berkata, mereka mahu bergerak pantas.
“Kita mahu cari lebih banyak wajah dan bakat baru. Barisan peserta terbaru ini mereka sangat berbakat, punya banyak skil dan bersedia berada di dalam industri,” jelasnya.
Lapan finalis Hero Remaja dan lapan finalis Dewi Remaja dipilih daripada pelbagai latar belakang.
Mereka bukan sahaja memiliki rupa menawan, tetapi dilengkapi bakat dan latar belakang pendidikan bukan calang.
Bakal dihos dan dijurikan pemenang Dewi Remaja 2005/2006, Scha Al-Yahya, HeroDewi Remaja 2023 akan ditayangkan pada setiap Jumaat bermula 10 November ini di Astro Ria – 1 November, 2023