Penganjur konsert tempatan tidak tolak penggunaan ‘Kill Switch’ tapi mahu SOP yang jelas

Pertembungan budaya dengan artis antarabangsa menyebabkan perlu adanya ‘Kill Switch’ ini

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Beberapa penganjur pertunjukan dan konsert di negara ini bersetuju dengan saranan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang meminta mereka menggunakan ‘kill switch’ jika berhadapan dengan perkara yang tidak diingini sepanjang acara berlangsung.

Ia bagi mengelakkan insiden buruk yang berlaku semasa persembahan kumpulan The 1975 di Festival Good Vibes pada Julai lalu tidak berulang.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang bersetuju 200% dengan saranan KKD kerana setiap negara mempunyai peraturan dan Malaysia tidak terkecuali.

“Sebelum ‘Kill Switch’ disaran, selaku penganjur, kita mempunyai tanggungjawab untuk berkongsi peraturan dan undang-undang negara kepada artis luar negara yang membuat persembahan di sini.

“Kita kena beritahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Jangan disebabkan kita ‘hadap’ sangat mahukan sesuatu artis itu, kita sanggup mengabaikan hal-hal yang penting seperti ini.

“Malah, sebelum artis menandatangani kontrak lagi, kita perlu maklumkan kepada mereka tentang peraturan di negara kita. Tanya mereka, adakah mereka okey? Jika tidak, maka sorry lah,” katanya.

Iman Tang berkata, penganjur mempunyai tanggungjawab untuk berkongsi peraturan dan undang-undang negara kepada artis luar negara yang membuat persembahan di sini – Gambar Iman Tang, 31 Oktober, 2023

Semalam, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memaklumkan sudah meminta penganjur konsert bagi artis luar negara mewujudkan ‘Kill Switch’ bagi mengelakkan insiden yang dilakukan kumpulan The 1975 pada Good Vibes Festival 2023 daripada berulang.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching, berkata ‘Kill Switch’ itu adalah untuk menghentikan konsert berkenaan atau memutuskan bekalan elektrik supaya persembahan itu tidak dapat dijalankan.

Persembahan The 1975 pada Good Vibes Festival 2023 di Sepang dihentikan selepas vokalisnya, Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.

Mengulas lanjut, Iman berkata penganjur juga perlu mengambil maklum mengenai sikap dan perwatakan artis sebelum menjemput mereka untuk membuat persembahan.

“Kalau mereka sering mencetuskan masalah, buat apa nak panggil mereka datang? Ia hanya akan menyusahkan sahaja,” katanya yang sering membawa beberapa artis luar masuk ke negara ini termasuk Dewa 19.

Sementara itu, Produser Eksekutif, Haniff Hamzah daripada Yolo Malaysia pula berkata, selepas berlakunya insiden Kumpulan The 1975, pihaknya memang mengambil langkah yang cukup berjaga-jaga untuk membawa masuk artis antarabangsa ke negara ini.

“Kami telah membawa kumpulan The Mersey Beatles daripada United Kingdom (UK) untuk menjayakan konsert tribute sempena 60 tahun kewujudan The Beatles, selama dua hari pada 26 dan 27 Ogos lalu.

“Kumpulan ini berasal dari Liverpool dan sudah tentu ada hal sensitif yang mereka perlu tahu dan apa yang berlaku dengan The 1975. Namun kami telah berbincang untuk melakukan ‘kill switch’ jika timbul perkara yang tidak diingini,’’ katanya.

Tindakan yang akan dilakukan, ujar beliau ialah mematikan peralatan di atas pentas termasuk mikrofon, tata bunyi dan tata cahaya. Namun, katanya tiada perkara yang tidak diingin berlaku ketika itu.

Haniff yang juga penyampai radio Era berkata, ‘Kill Switch’ perlu diadakan disebabkan pertembungan budaya yang berbeza dengan artis dari luar negara.

Haniff Hamzah berkata, ‘Kill Switch’ perlu diadakan disebabkan budaya yang berbeza dengan artis dari luar negara – Gambar Haniff Hamzah, 31 Oktober, 2023

Malah, sepanjang konsert berlangsung, kata Haniff, Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) turut datang ke situ bagi tujuan pemantauan.

“Mereka sangat baik dan hanya menjalankan tugas. Kami cuba membantu untuk menjelaskan apa yang berlaku di belakang pentas. Saya kira terdapat kawalan yang cukup ketat selepas berlakunya insiden The 1975,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hitman Solutions, Rohit Rampal pula berkata, saranan untuk menggunakan ‘Kill Switch’ perlu dilakukan dengan hati-hati.

Rohit Rampal berkata, prosedur operasi standard (SOP) perlu ada untuk menjelaskan kepada artis luar mengenai tindakan itu – Gambar Rohit Rampal, 31 Oktober, 2023

Malah katanya, prosedur operasi standard (SOP) perlu ada untuk menjelaskan kepada artis luar mengenai tindakan itu.

“Siapa yang akan menentukan SOP ini? Ia juga perlu diselaraskan dengan polisi yang lebih teratur, jika tidak ia akan memberikan implikasi yang lebih buruk.

“Saya juga berharap KKD akan mengadakan sesi perbincangan dengan semua penganjur untuk membincangkan perkara ini sebelum kita melaksanakan penggunaan ‘Kill Switch’,” katanya yang pernah membawa masuk artis terkemuka, Neyo ke negara ini. – 31 Oktober, 2023

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related