KUALA LUMPUR – Filem mengenai sukan memang tidak banyak dihasilkan di negara ini sedangkan ia mampu menyebarkan banyak nilai-nilai yang positif kepada penonton khususnya dalam membina keyakinan diri, semangat berpasukan serta usaha dan kegigihan untuk berjaya.
Inilah yang cuba dipaparkan dalam filem baharu Gemencheh Boys terbitan SOL Pictures, GV Corporates Advisory dan Astro Shaw yang sudah pun menjengah pawagam tanah air bermula 26 Oktober 2023.
Scoop telah diundang untuk menonton filem ini yang dibintangi Pekin Ibrahim, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Zaidi Omar, Farah Ahmad, Azman Hassan, Ieda Moin dan Along Eyzendy sewaktu tayangan perdana bersama pihak media.
Berikut kami senaraikan 6 sebab kenapa anda perlu menonton filem ini.
Berdasarkan Kisah Benar
Filem ini adalah berdasarkan kisah benar mengenai 6 pelajar nakal dari Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Rokan Utara di Gemencheh Negeri Sembilan.
Mereka dilatih menjadi pemain kriket sehingga akhirnya berjaya menjadi atlet negara dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Kisah benar dalam filem ini diceritakan pemain kriket negara, Shafiq Sharif, yang pernah mewakili Malaysia pada kelayakan Piala Dunia Kriket 2019 dan memenangi pingat emas di Sukan SEA 2017.
Ia juga mengangkat kegigihan seorang guru yang tidak tahu apa-apa tentang kriket tetapi kemudian mengajar dan melatih pelajar-pelajarnya bermain kriket hingga berjaya.
Pelakon Kanak-Kanak Dari Gemencheh
Kesemua pelakon kanak-kanak yang terlibat dalam filem ini adalah anak kelahiran Gemencheh iaitu Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Dean dan Amir Kuziq. Aqil Yaya membawakan watak Syafiq (berdasarkan kisah benar Shafiq Shariff).
Mereka dipilih berdasarkan uji bakat yang dilakukan di sana menerusi perlawanan persahabatan yang dianjurkan. Mereka juga merupakan pemain kriket sebenar di sekolah masing-masing.
Diarahkan, Ditulis Dan Diterbitkan Pemenang FFM
Filem ini diarahkan oleh Jason Chong dan Eric Ong. Jason pernah memenangi anugerah Cerita Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-29 menerusi filem Adiwiraku yang juga merupakan Filem Terbaik FFM29. Penerbit filem ini pula ialah aktres, Sangeeta Krishnasamy yang juga merupakan pemenang Pelakon Wanita Terbaik FFM29.
Dapat Sokongan Persatuan Kriket Malaysia
Memandangkan Gemencheh Boys adalah sebuah filem tentang sukan kriket, ia turut mendapat sokongan daripada Persatuan Kriket Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan.
Ini termasuk kerjasama daripada Majlis Kriket Antarabangsa (ICC), penganjur Jelajah Trofi Piala Dunia Kriket Lelaki ICC yang pertama kali diadakan di Malaysia pada tahun ini.
Sarat Emosi
Filem ini akan membuatkan anda bergelak ketawa dengan telatah spontan para pelakon kanak-kanak dalam filem ini yang kelihatan sangat natural.
Dalam gelak tawa, ia turut diselitkan dengan perasaan hiba dalam beberapa babak terutamanya melibatkan pengorbanan Cikgu Azman lakonan Pekin Ibrahim demi mempertahankan anak muridnya.
Sesuai Ditonton Semua Lapisan Masyarakat
Gemencheh Boys adalah filem yang boleh ditonton seisi keluarga dan sesiapa sahaja. Ia mempunyai banyak mesej yang boleh dijadikan sebagai pengajaran. Dalam masa yang sama, anda masih mampu terhibur dengan telatah lucu para pelakon yang mencuit hati.
Jangan lupa untuk menonton filem hebat ini di pawagam berhampiran anda. – 28 Oktober, 2023