KUALA LUMPUR – Terkesan dengan pendirian Amerika Syarikat (AS) menyokong kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin dan menggelarkan Hamas sebagai penjenayah, pelakon Puteri Balqis mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia selebriti selama dua hari.
Sepanjang tempoh itu, Puteri Balqis, 16, atau lebih mesra disapa sebagai Aqish menjadi netizen sepenuh masa dan menyerang akaun Instagram rasmi, Presiden AS, Joe Biden.
Menyifatkan tindakannya itu sebagai langkah kamikaze, Aqish menceritakan pengalaman luar biasanya itu kepada pengikutnya di Instagram, hari ini.
Sebelum itu, Aqish menulis komen meminta Biden untuk mempunyai rasa simpati terhadap kanak-kanak yang maut dalam konflik tersebut.
“Saya hanya seorang kanak-kanak yang melihat kanak-kanak lain dibunuh. Di mana hati anda?” tulisnya.
Komen Aqish membuatkan pengikutnya pula berbalah mengenai statusnya sebagai kanak-kanak atau remaja.

Disebabkan terlalu sibuk mempertahankan Palestin, Aqish berkata, dia terpaksa bersengkang mata untuk membalas komen dan serangan yang diterima.
“Bila notification (notifikasi) kau tidak berhenti dan kau kena bangun untuk shooting (penggambaran) esok pukul 4 pagi,” katanya.

Menurut Aqish, setelah berhempas pulas menjadi netizen selama dua hari, dia kembali kepada kehidupannya yang asal iaitu menjadi seorang selebriti sepenuh masa.
Dia turut berkongsi pengalaman indah dilaluinya itu kepada ibunya.

Namun, setelah ibunya melihat kesemua komen tersebut, dia pula yang dimarahi ibunya.
Perkongsian Aqish itu mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dan rata-rata terhibur dengan komennya di IG Biden.

Bahkan, ada pengikutnya meminta Aqish kembali menjadi netizen untuk beberapa hari lagi.
Menarik juga kisah Aqish ini ya. Dia memang seorang penglipur lara yang hebat! – 26 Oktober, 2023