KUALA LUMPUR – Ikon pop dunia, Britney Spears, 41, yang mengejutkan ramai apabila mendakwa pernah hamil anak bekas kekasihnya, Justin Timberlake, 42, kini mendedahkan lebih lanjut mengenai pengguguran yang dilakukannya.
Dalam memoirnya, The Woman In Me yang kini berada di pasaran, Britney menceritakan lebih mendalam tentang pengguguran yang dilaluinya selepas mendapat tahu tentang kehamilannya itu.
“Adalah penting memastikan tiada siapa yang mengetahui tentang kehamilan atau pengguguran, yang bermaksud melakukan segala-galanya di rumah.
“Kami tidak memaklumkan kepada keluarga saya pun. Satu-satunya individu yang tahu selain Justin adalah Felicia [Culotta, bekas pembantu Spears], yang sentiasa bersedia untuk membantu saya.
“Saya diberitahu: ‘Ia mungkin menyakitkan sedikit, tetapi awak akan baik-baik saja,” tulis Britney dalam memoir tersebut.
Tulisnya lagi tentang pengalamannya itu, Britney berkata: “Pada hari yang ditetapkan, bersama Felicia dan Justin, saya menelan pil (pengguguran) itu.
“Tidak lama kemudian saya mula mengalami kekejangan yang sangat teruk. Saya masuk ke bilik mandi dan duduk di dalamnya selama berjam-jam, berbaring di atas lantai, menangis teresak-esak dan menjerit,” jelasnya.
Pada saat itu, Britney memberitahu, dia teringat bagaimana Justin cuba menghiburkan dirinya yang ketika itu sedang dalam kesakitan.
“Justin masuk ke bilik mandi dan berbaring di atas lantai bersama saya. Pada satu ketika dia fikir mungkin muzik akan membantu, jadi dia mendapatkan gitarnya dan dia berbaring sambil memetik gitar” jelasnya lagi.
Penyanyi baby One More Time dan Toxic ini berusia 17 tahun sewaktu berpacaran dengan Justin yang ketika itu menganggotai kumpulan NSYNC pada 1999 dan mereka menjalinkan hubungan cinta sehingga 2002.
“Saya sangat mencintai Justin. Saya sentiasa menjangkakan kami akan memiliki keluarga bersama satu hari nanti. Lebih awal daripada yang saya jangkakan.
“Tetapi Justin sememangnya tidak gembira dengan kehamilan itu. Dia berkata kami tidak bersedia untuk mempunyai bayi lagi dan kami terlalu muda,” tulis Britney lagi tentang kehamilannya itu.
Britney turut mengungkap bahawa pengguguran yang dilakukannya itu adalah salah satu perkara yang paling menyakitkan yang pernah dialami dalam hidupnya.
Selepas hubungan Britney dan Justin putus pada 2002, Britney kemudian mengahwini Kevin Federline dan mempunyai dua anak lelaki iaitu Sean Preston, 18 dan Jayden James, 17.
Mengulas mengenai memoirnya itu, Britney berkata dia mempunyai sebab untuk mengeluarkannya kerana sudah tiba masa baginya untuk bersuara dan peminatnya juga berhak mendengar ‘cerita’ mengenainya.
“Tiada lagi konspirasi, tiada lagi pembohongan – hanya saya yang memiliki masa lalu, sekarang dan masa depan saya,” katanya lagi sewaktu diwawancara People dalam temu bual menerusi emel.
Sementara itu, Justin masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pendedahan yang dibuat Britney ini. – 25 Oktober, 2023