KUALA LUMPUR – Mungkin ramai masih tidak mengetahui bahawa peserta All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Naqiu memiliki masalah peti suara yang cukup kritikal.
Dalam hantaran terbaharu di Instagram miliknya, Naqiu mendedahkan kondisi sebenar mengenai masalah dialaminya itu.
“Juri ASGV yang paling mengambil berat mengenai kondisi vokal saya. Kalau tidak dikawal, ia terlalu serak dan parau.
“Peti suara saya memang ada parut kekal kerana sudah 12 tahun menyanyi di kelab sebelum ini. Tak pernah jaga dan main lanyak saja nak cari duit,” katanya.
Namun, Naqiu berkata, sejak menyertai Gegar Vaganza Musim 6 (GV6), dia merujuk kepada pakar untuk memulihkan peti suaranya itu serta konsisten mengambil ubat.
Bahkan, Naqiu mengakui bahawa kali ini dia mendapatkan khidmat jurulatih vokal untuk menjaga suaranya.
“Saya berusaha sihatkan semula peti suara saya yang bermasalah ini. Suara nak pakai lama, nak guna untuk cari rezeki buat familikan?,” katanya.
Dia juga turut berterima kasih kepada Datuk Syafinaz kerana memberikan komen berguna selama tiga minggu untuk dia memperbaiki mutu vokal persembahannya.
“Selain vokal, semua juri juga nampak aspek kreatif lain macam konsep persembahan, idea dan usaha cuba saya tunjukkan setiap minggu.
“Persembahan selama dua minit setengah je, tapi persediaannya itu boleh stres. Dari susunan muzik, props, konsep, koreografi, pakaian dan semualah,” katanya.
Namun, dia bersyukur kerana memiliki pengurusan pasukan yang sangat membantunya setiap minggu serta meminta semua orang mendoakan kesihatannya. – 24 Oktober, 2023