SHAH ALAM – Konsert All Star Gegar Vaganza (ASGV) minggu kelima menyaksikan Ayai Illusi menjadi mangsa penyingkiran keempat selepas Datuk Aishah, Suki Low dan Cliff Umar.
Ayai yang menyampaikan lagu Pusara Di Lebuhraya nyanyian asal Ekamatra gagal memuaskan hati barisan juri profesional biarpun persembahannya disukai penonton.

Menurut ketua juri, Datuk Ramli MS atau Tokram, nyanyian Ayai mempunyai masalah tempo dan kedengaran semput di hujung persembahan walaupun penghayatannya baik.
Ayai memberikan alasan ‘ear monitor’ yang hampir tercabut menyebabkan dia mempunyai masalah dengan tempo.
Sewaktu sidang media, Tokram memberitahu alasan itu tidak seharusnya digunakan peserta.
“Sebagai penyanyi, mereka sepatutnya tahu apa harus dilakukan jika perkara seperti ini berlaku.
“Apa yang membuatkan Ayai tersingkir dan bukannya Zamani adalah genre lagu dinyanyikan. Lagu dinyanyikan Zamani adalah bukan dari genre kebiasaannya. Dia melawan arus. Dan inilah yang dinamakan pertandingan.
“Naqiu juga menyanyikan lagu genre ‘makanan’ dia, tetapi dia berjaya membuat persembahannya kelihatan menarik. Saya terbayang arwah Saleem sewaktu melihat persembahannya,” katanya.
Sementara itu, Ayai atau nama sebenarnya Zaharuddin Kamaruddin, 61, mengakui apa dikatakan juri mengenai persembahannya adalah benar.
“Memang betul saya ada masalah tempo dan saya memang kepenatan. Saya tinggal di Johor. Setiap minggu saya akan memandu ke Shah Alam untuk konsert ASGV.
“Dengan usia saya sebegini, memang saya tidak mampu melawan peserta yang jauh lebih muda.
“Namun saya bersyukur kerana sampai ke minggu kelima. Saya terima penyingkiran ini dengan seadanya. Barisan juri yang menilai semuanya profesional,” jelasnya.

Perjalanan Ayai hingga minggu kelima juga menutup mulut sesetengah pihak yang menyasarkannya sebagai peserta akan tersingkir lebih awal.
“Alhamdulillah semua ini adalah kuasa Allah. Selain itu saya rasa pemilihan lagu juga memainkan peranan penting.
“Saya tak pernah fikir atau sasar bertahan sampai minggu ke berapa. Apa saya harapkan, jika saya tersingkir, biarlah saya keluar bermaruah. Nyanyian saya tak sumbang,” ujarnya.
Penyingkiran Ayai membuatkan ramai netizen tidak berpuas hati kerana menurut mereka ada peserta lain lebih teruk menyanyi.
Disebabkan itu ramai netizen membuat spekulasi bahawa pihak penganjur ingin menyimpan peserta yang mempunyai nama besar biarpun nyanyian mereka kurang memuaskan.

Pada konsert minggu kelima bertemakan misteri itu, Liza Hanim muncul juara mingguan selepas menyampaikan lagu Kembali Terang nyanyian asal Marsha Milan dengan penuh penghayatan.
Liza mendedikasikan persembahannya untuk mangsa perang di Palestin. – 23 Oktober 2023