KUALA LUMPUR – Konflik di tebing barat membabitkan Palestin dan Israel semakin tegang dengan serangan serta kematian bertambah setiap hari.
Malah, ketika ini seluruh dunia sedang marah melihat kekejaman dilakukan rejim zionis terhadap penduduk di Gaza.
Selebriti dan pempengaruh media sosial antarabangsa turut bersuara serta menggesa Israel menghentikan keganasan melampau terhadap rakyat Palestin.
Namun, lain pula di Bollywood apabila bintang ternama dan beragama Islam, termasuk Shah Rukh Khan, Salman Khan, Amir Khan terus membisu mengenai isu terbabit.
Salman Khan dilihat lebih banyak mempromosikan filem terbarunya bersama Katrina Kaif, iaitu Tiger 3 di platform media sosialnya.
Disebabkan itu, netizen mula menyerang akaun Instagram superstar terbabit dan menggesa agar mereka mengatakan sesuatu mengenai Palestin.
Biarpun bintang besar itu berdiam diri, ada beberapa selebriti Bollywood lantang bersuara mempertahankan Palestin, antaranya aktres, Sonam Kapoor dan Swara Bhasker.
Swara menerusi hantaran di akaun Instagram meluahkan rasa sedih dengan nasib menimpa kanak-kanak di Palestin kerana dia juga seorang ibu yang baru melahirkan anak.
https://www.instagram.com/p/CynraRXoci9/
“Saya merenung bayi perempuan saya yang sedang tidur dan terfikir bagaimana saya akan melindunginya jika dia dilahirkan di Gaza.
“Kejahatan mereka lakukan sangat tidak diduga. Mengebom kanak-kanak di hospital, pusat pelindungan, gereja menandakan kita sedang berada di dalam dunia penuh kegelapan.
“Saya berdoa pada tuhan agar melindungi anak-anak di Gaza daripada kesakitan dan kematian kerana dunia ini tidak mampu melindungi mereka,” tulisnya.
Sonam pula menerusi hantaran di Insta Story beberapa hari lalu, memuatnaik ayat ‘separuh daripada penduduk di Gaza adalah kanak-kanak’.
Pelakon filem Neerja itu turut berkongsi kata-kata daripada Nicholas Kristof yang mempertahankan nyawa kanak-kanak di Gaza. – 23 Oktober 2023