KUALA LUMPUR – Gara-gara menyangkakan seorang wanita yang tidak menyokong Palestin sebagai Liyana Jasmay, netizen telah menyerang pelakon berkaliber tersebut dengan pelbagai kecaman.
Perkara itu menjadi tular apabila seorang wanita yang mempunyai iras wajah Liyana Jasmay dengan nama @coffee33_08 telah memuat naik sebuah video di TikTok tentang isu mengapa dia tidak menyokong Palestin.
Alasan yang diberikannya agak kabur iaitu kononnya sudah tahu sejarah Palestin-Israel.
Akibatnya ia telah mencetuskan perbalahan sesama netizen di platform media sosial itu apabila sekelompok netizen yang menyedari bahawa wanita tersebut bukanlah Liyana Jasmay, telah menyelar tindakan golongan netizen yang pada awalnya mengecam wanita di TikTok itu.
Mereka juga meminta agar pihak terbabit menyelidik fakta tentang wanita yang membuat kandungan video tersebut terlebih dahulu sebelum menyebarkan fitnah tentang Liyana Jasmay tanpa sebarang usul periksa.
Menyedari dirinya menjadi topik hangat yang diperkatakan di kalangan netizen, Liyana Jasmay telah memuat naik sebuah hantaran yang mengandungi komen-komen netizen di akaun Instagram miliknya berikutan isu tersebut.
“Saya meletakkannya di sini supaya ia boleh menjadi iktibar pada semua. Pertama sekali, jangan berusaha sangat untuk cari salah orang dan beria-ia untuk kecam orang di ruangan komen dengan penuh rasa bangga dan tidak ada langsung rasa bersalah.
“Kedua, tolonglah jangan sebarkan fitnah. Ketiga, berhentilah menghukum orang sesuka hati. Saya doakan agar hati anda dilembutkan dengan kebaikan, agar hati anda semua penuh dengan kasih sayang dan agar hati anda semua sentiasa bersangka baik,” katanya.
Sementara itu, si pemilik akaun TikTok @coffee33_08 pula telah memadam video berkenaan serta memohon maaf atas keterlanjuran dan kekhilafannya itu. Bahkan, dia turut memuat naik sebuah kenyataan di akaunnya itu.
“Kalau nak kecam saya, silakan, tapi tak payah libatkan orang lain macam Liyana Jasmay. Korang serang dan fitnah orang yang salah. Saya dah mengaku salah, korang masih nak bersuara dengan keras, silakan,” katanya. – 19 Oktober, 2023