KUALA LUMPUR – Pelakon, Nadhir Nasar berpendapat seseorang selebriti tidak perlu takut untuk menyuarakan kebenaran tentang konflik peperangan dan pergolakan yang kini melanda bumi Palestin.
“Kalau anda ada platform, ada pengaruh dan pengikut serta anda tahu apa anda suarakan itu benar, suarakan sahaja.
“Tidak perlu takut. Tidak perlu takut dengan rezeki sebab punca rezeki datang daripada Tuhan,” katanya sewaktu ditemui di majlis sidang media My Famous Ex-Boyfriend di Hotel Ideas di sini, hari ini.
Nadhir berkata demikian sebagai mengulas sikap lantangnya apabila menyuarakan isu berkaitan Palestin di laman X (dahulu dikenali sebagai Twitter).
Jelas Nadhir, apabila menyokong sesuatu perkara, individu terbabit kena lantang bersuara dan berpegang kepada apa disuarakan itu.
“Itulah peranan saya untuk menyebarkan kesedaran. Itu yang perlu saya lakukan, harus bercakap tentang kesedaran.
“Memang menjadi lumrah manusia takut akan kebenaran. Mungkin takut disekat atau dibatalkan jenama besar atau jenama fesyen.
“Pada saya, semua itu hanya sementara. Apa saya perjuangkan ini adalah jauh lebih besar daripada semua itu. Mungkin ada sokong dan ada tidak, tapi saya perlu lakukan apa yang saya lakukan,” katanya.
Menurutnya, sebagai selebriti, itu adalah satu-satu cara boleh dilakukannya untuk menyatakan prinsipnya berhubung isu Palestin.
“Kalau hendak pergi ke sana, adakah cukup kuat iman saya untuk berperang. Adakah saya cukup bersedia untuk pergi menyelamatkan mereka.
“Saya buat apa yang termampu. Bila saya pengaruh dan memegang sesuatu prinsip, itu sahaja mampu saya lakukan untuk rakyat Palestin serta saudara dan saudari Islam kita,” ucapnya.
Mengenai tindakan selebriti yang menyuarakan sokongan serta soladariti mereka ke atas Palestin secara bermusim atau hanya ketika musibah tercetus seperti ketika ini, Nadhir menganggap perkara itu tidak ada salahnya.
“Bagi saya, tindakan itu tidak mengapa kerana isu terbabit sedang panas dan di media sosial sekarang ini, kita dapat melihat adanya peperangan serta pengeboman.
“Untuk buat perkara yang baik, kita tidak perlu lakukan secara all out (habis-habisan). Sedikit pun dah cukup daripada tiada,” tambahnya.
Mengulas mengenai segelintir selebriti enggan bersuara mengenai isu Palestin, Nadhir berpendapat, itu adalah hak masing-masing.
“Kita tidak boleh jatuh hukum ke atas mereka. Kita hanya doakan supaya mereka berani bersuara sebab isu tentang Palestin ini sudah cukup lama,” katanya. – 17 Oktober, 2023