KUALA LUMPUR – Pengarah, pelakon dan aktivis teater, Sabri Yunus kesal dengan tindakan seorang pendakwah yang menuduh pernikahannya dengan isteri, Angeline Tan pada Sabtu lalu di Perlis sebagai tidak sah.
Tegasnya, dakwaan bahawa dia dan isterinya akan berzina kononnya disebabkan pernikahan mereka tidak sah adalah sangat berat.
“Saya secara peribadi sedar apa akan berlaku pada sesetengah pihak bila kami buat keputusan untuk bernikah di Perlis dan memohon untuk diakadkan Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr Maza.
“Saya ada sebab tersendiri memilih Perlis. Akan tetapi saya tidak menyangka isu lain, isu yang saya tak terbayang pun oleh akal fikir saya.
“Seorang ustaz dengan jelas dan terang mengata (menuduh) pernikahan kami tidak sah. Dan terus membuat kesimpulan kami akan berzina. Berat tuduhan itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Bahkan, dia juga turut mengulas mengenai dakwaan pendakwah terbabit memgenai lafaz qabul yang diungkapnya sehingga mengundang pelbagai persepsi.

“Siapa yang keliru? Dalam majlis tu hanya perlu dua saksi walau hampir 25 orang yang hadir. Orang di luar dan jauh dan tidak bersama dalam majlis tidak ada isu dalam penyaksian majlis itu. Dia dengar atau tidak, faham atau tidak bukan isu pengesahan.
“Saya tak fikir ada orang tak faham bila qabul jawab saya setuju. Tak mungkin ada orang akan fikir setuju pada hal lain selain dari setuju hal nikah. Tak mungkin ada yang fikir dia setuju pasal kereta, pasal rumah.
“Yang kata dia keliru (mengenai lafaz qabul) itu adalah orang yang sangat lemah pemikirannya atau yang sengaja melemahkan fikirannya. Pada yang sengaja melemahkan fikiran, dia adalah selemah- lemah manusia,” katanya.
Jelas Sabri lagi, dia menyedari bahawa pendakwah tersebut selama ini tidak sependapat dan tidak sealiran dengan jurunikah mereka, Dr Maza.
“Dalam video tersebut saya dapat rasakan permusuhan itu apabila ustaz tersebut mengheret beberapa isu lain yang tiada kena mengena dengan isu kami.
“Ini menunjukkan dia cuba mengukuhkan pandangannya terhadap jurunikah kami. Janganlah kami dijadikan mangsa kebencian tuan kepada seteru tuan,” katanya.
Menurutnya lagi, dia juga sudah mendapatkan pandangan ulama lain berhubung isu lafaz qabul tersebut.
“Ternyata berbeza dengan pandangan ustaz itu. Jangan letak hukum atas dasar rasa kebecian semata-mata. Agamawan tidak harus bersikap begitu.
“Jujurlah, antara tidak sah dan tidak sempurna dua perkara lain. Sedangkan yang kita rasa tidak sempurna itu, sempurna pada yang lain,” katanya. – 17 Oktober, 2023