SHAH ALAM — Penyanyi yang juga peserta All Star Gegar Vaganza, Naqiu membuat permohonan maaf selepas persembahannya bersama Misha Omar pada konsert keempat yang berlangsung malam tadi dikritik ramai gara-gara aksi terlebih mesra.
Menurut Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib, 36, dia hanya tersedar tentang kekhilafan tersebut selepas selesai membuat persembahan.
“Apa yang boleh saya katakan aksi itu berlaku secara spontan di atas pentas. Selepas selesai buat persembahan baru saya sedar bahawa perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
“Saya seharuskan lebih peka tentang sensitiviti masyarakat kita. Saya sedar ini adalah kesalahan saya.
“Saya tidak akan mempertahankan diri saya dengan mengatakan bahawa aksi itu berlaku kerana ingin mendapatkan ‘feel’ dalam nyanyian.
“Letakkan kesalahan itu pada saya, bukan pada pasangan duet saya iaitu Misha Omar atau sesiapa sahaja,” katanya ketika ditemui pada sidang media sejurus tamat konsert.
Ditanya tentang mungkin ada pihak yang akan membuat andaian bahawa perkara ini sengaja dicetuskan agar nama Naqiu menjadi sebutan, kata bekas vokalis kumpulan Boboi ini, bukan caranya untuk mencari publisiti seperti ini.
“Saya ada bermacam-macam cara yang boleh dilakukan untuk dapatkan publisiti, tetapi ini bukan salah satunya. Saya sudah berada di dalam industri ini selama 23 tahun. Saya sudah faham permainan industri ini. Jika saya ingin lakukan kontroversi, saya dah boleh buat macam-macam.
“Rasanya untuk cipta kontroversi di zaman sekarang agak tidak sesuai. Umur saya pun dah berapa, anak pun dah enam orang. Untuk cipta kontroversi bersama isteri orang, sangat tidak bagus,” ujarnya.
Biarpun dikritik oleh penonton, namun persembahan Naqiu bersama Misha yang mendendangkan lagu Aku Dan Dirimu nyanyian asal Ari Lasso dan Bunga Citra Lestari mendapat pujian daripada juri profesional.
Kata Naqiu dia seorang yang gemar bereksperimen kerana enggan kelihatan sama setiap minggu.
“Saya nak keluar daripada zon selesa saya sebenarnya bila saya masuk All Star Gegar Vaganza. Buat apa saya nak buat perkara yang berulang-ulang. Lebih baik saya buat persembahan di luar sahaja.
“Namun lumrah eksperimen tidak semestinya semua akan diterima. Minggu pertama saya cemerlang. Minggu kedua saya gagal. Eksperimen saya untuk minggu ini, memang saya sendiri yang melampau. Saya kena jadi lebih matang selepas ini untuk bereksperimen,” ujarnya.
Terdahulu, Naqiu dikritik hebat oleh netizen selepas membuat persembahan pada malam tadi. Rata-rata netizen meluahkan kekesalan mereka melihat Naqiu beraksi mesra bersama Misha Omar sehingga ada yang kurang selesa. – 16 Oktober, 2023