KUALA LUMPUR – Penganjur konsert di Malaysia kini menarik nafas lega selepas kerajaan mengumumkan pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan artis tempatan dan pengurangan kepada 10 peratus bagi artis antarabangsa.
Pemilik syarikat Icon Entertainment, Iman Tang menzahirkan perasaan syukur kerana rintihan penggiat industri akhirnya didengari kerajaan.
“Isu ini kami perjuangkan sejak dari awal tahun lagi. Tetapi sudah tentu ia tidak semudah yang kita inginkan. Banyak perkara perlu dikaji.
“Tetapi apa yang saya lihat sebelum ini adalah ketidakadilan terhadap jumlah cukai yang dikenakan terhadap artis lokal dan antarabangsa.
“Kedua-duanya harus membayar 25 peratus, sedangkan harga tiket untuk konsert artis antarabangsa jauh lebih mahal berbanding lokal,” katanya kepada Scoop.
Menurutnya, kadar cukai yang tinggi membuatkan ramai penganjur kurang berminat untuk menganjurkan konsert artis tempatan kerana tidak menguntungkan.
Justeru dengan pengecualian cukai tersebut, Iman berkata, ia bakal menggalakkan lagi penganjuran konsert melibatkan artis lokal sekali gus memberi peluang untuk penggiat seni mencari rezeki.
Sementara itu, ditanya adakah pengurangan duti hiburan itu akan mempengaruhi harga tiket konsert, katanya, perkara tersebut sepatutnya diteliti semua penganjur konsert.
“Pada saya, sepatutnya harga tiket perlu dikurangkan memandangkan kerajaan telahpun memberikan pengecualian dan pengurangan duti hiburan.
“Penganjur tidak seharusnya bersikap tamak dengan tetap meletakkan harga tinggi untuk tiket konsert. Lebih baik kurangkan harga tiket kerana kerajaan juga dah turunkan harga cukai,” katanya.
Seorang lagi penganjur konsert, Ayob Abdul Majid daripada Padi Record berpendapat, pengecualian cukai hiburan untuk konsert artis lokal adalah satu kemenangan buat penggiat seni tempatan.
“Alhamdulillah, saya amat besyukur sebab inilah yang kami perjuangan selama 25 tahun. Selama ini kami sering suarakan keluhan kami tetapi ia tidak didengari. Akhirnya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang mendengar keluhan kami.
“Sebagai penganjur, kami amat terkesan dengan cukai hiburan yang tinggi sebelum ini, iaitu sebanyak 25 peratus. Ia memang membebankan.
“Macam mana pun, saya tetap berharap agar Perbadanan Muzik Malaysia akan dapat segera diwujudkan supaya kita dapat memantau isu berkaitan industri muzik tanah air.
“Macam Akta Muzik, kenapa perlu mengambil masa dua tahun untuk diwujudkan? Penubuhan Perbadanan Muzik Malaysia sudah diluluskan, kenapa kewujudan Akta Muzik itu tidak diselaraskan pada waktu sama?” soalnya.
Dalam pada itu, Eksekutif Produser di Shiraz Projects Sdn Bhd, Shirazdeen Karim berpendapat, kerajaan sepatutnya turut mengenakan pengecualian cukai hiburan sepenuhnya bagi konsert artis antarabangsa.
“Bila artis luar datang, ia akan merancakkan lagi aktiviti pelancongan. Saya bagi contoh, macam konsert Coldplay di Singapura yang diadakan selama enam hari. Ramai yang akan datang ke negara tersebut untuk menyaksikan konsert kumpulan itu.
“Tidak seperti di Malaysia, penganjur hanya perlu membayar permit lesen, visa dan withholding tax yang tidak membebankan. Prosesnya juga mudah dan tidak merumitkan.
“Kalau di Malaysia, kita kena bayar cukai hiburan, kena bayar permit lesen, kena bayar withholdtax daripada bayaran artis, bayar visa dan macam-macam bayaran lain. Selalunya artis antarabangsa akan minta penganjur menyelesaikan bayaran itu,” katanya. – 14 Oktober, 2023