KUALA LUMPUR — Penyanyi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet menyambut baik pengecualian cukai persembahan pentas artis tempatan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Bajet 2024.
Menurut Altimet, pengecualian cukai berkenaan melegakan penggiat seni tempatan.
“Bagi saya, ia adalah ‘one little band aid that helps’. Sebelum ini di Selangor, kadar 15 peratus sudah dihapuskan dan ia bergantung pada negeri.
“Tetapi, lokasi utama Kuala Lumpur sebelum ini adalah sebanyak 25% dan pengumuman ini tentunya melegakan penggiat seni tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam sesi pembentangan Bajet 2024, Anwar mengumumkan pengecualian duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis tempatan serta pengurangan kepada 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis antarabangsa dan acara hiburan lain seperti tayangan filem serta acara sukan.
Mengulas lanjut, Altimet berkata, secara umumnya, beliau bersetuju dengan pengagihan subsidi yang lebih adil seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2024, memandangkan ia berupaya memperbaiki ketirisan subsidi.
“Hasilnya akan dapat diberikan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana dengan lebih baik. Ia juga boleh diterjemahkan dengan peluang untuk kenaikan upah golongan pekerja,’’ tambahnya.
Mengenai kadar pengangguran, Altimet memberitahu Kerajaan Perpaduan berjaya menurunkan kadar tersebut kepada 3.4 peratus setakat Ogos 2023, iaitu terendah serta hampir menyamai kadar sebelum COVID-19 yang berjumlah 3.3 peratus.
Pengumuman Bajet itu, katanya akan membantu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda. – 13 Oktober, 2023