Bajet 2024: Afdlin, Ellie Suriaty minta kerajaan titik berat infrastruktur industri hiburan, kebajikan penggiat seni

Menurutnya, pembinaan infrastruktur seperti studio penggambaran serba lengkap seperti di luar negara, dapat membantu menaikkan taraf filem tempatan

9:00 AM MYT

 

PETALING JAYA – Pengarah dan pelakon terkenal, Datuk Afdlin Shauki mengharapkan agar kerajaan memberi tumpuan kepada pembinaan infrastruktur industri seni dalam pembentangan Bajet 2024 yang akan diumum esok.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan memberikan bantuan dari segi dana seperti Dana Kandungan Digital (DKD) buat penggiat seni, justeru kini tiba masa ia melihat dari segi infrastruktur.

“Bila beri bantuan dana, tidak dinafikan perkara itu dapat membantu penggiat seni. Namun tetap ada ketirisan berlaku. Akhirnya ia tetap tidak menaikkan taraf filem kita.

“Apa yang lebih baik dilakukan sekarang ada pembinaan infrastruktur lebih baik. Contohnya kalau kita ke Korea, mereka mempunyai set penggambaran seperti di dalam kapal terbang.

“Kita di sini jangan haraplah nak ada. Kena cari kapal terbang sebenar. Mungkin ada yang tak mampu. Set penggambaran di sana sudah tersedia dan lengkap. Produksi antarabangsa boleh guna, lokal juga boleh guna,” katanya kepada Scoop.

Tidak dinafikan bantuan dana dapat membantu penggiat seni, namun ketirisan tetap berlaku sekali gus gagal menaikkan taraf filem negara. – Gambar Facebook Afdlin Shauki, 12 Oktober, 2023

Afdlin berkata, dia juga mencadangkan agar studio penggambaran milik syarikat antarabangsa yang dibina di Malaysia, memberikan harga lebih murah kepada produksi lokal.

“Fasiliti filem syarikat antarabangsa mesti boleh digunakan orang lokal pada kadar harga lokal. Contohnya dulu kita ada studio Pinewoods, tetapi kita tak mampu nak gunakan kerana harga ditawarkan adalah pada kadar antarabangsa.

“Jika ada lagi studio antarabangsa yang akan dibina di negara ini, diharap agar diberikan harga lokal buat penggiat seni filem tempatan supaya filem kita nampak lebih gah,” ujarnya.

Menyedari kebajikan penggiat industri seni belum terjaga sepenuhnya, Afdlin mengharapkan agar kerajaan turut menitikberatkan mengenai isu ini.

Sementara itu, bagi pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty, dia mengharapkan agar kerajaan mewujudkan Akta Industri Kreatif.

“Saya benar-benar harap ada pembaharuan. Industri seni kita wujud sejak dari zaman sebelum merdeka lagi. Tetapi sehingga hari ini kita masih belum ada Akta Industri Kreatif. Saya nak lihat perkara ini dibawa ke Parlimen untuk diusulkan.

“Industri kreatif menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara tak kiralah siapa yang menjadi kerajaan. Sudah empat kerajaan bertukar. Tetapi industri kreatif tidak pernah diberi pengiktirafan sebagai industri yang mempunyai akta.

“Ini amat menyedihkan. Ramai anak seni masih bergelut untuk membeli aset kerana kami tiada slip gaji. Sebab itu ramai orang dalam industri kreatif ini tiada rumah sendiri dan hanya mampu menyewa,” katanya ketika dihubungi Scoop.

Selain itu, Ellie berkata, kerajaan perlu meneliti kerugian yang ditanggung penggiat seni kreatif terutamanya penggiat filem yang terpaksa memberikan 50 peratus jumlah kutipan tiket kepada pengusaha pawagam.

“Ini sangat tidak adil kerana mereka hanyalah pempamer filem. Mereka ambil keuntungan sebanyak 50 peratus sedangkan mereka tidak keluarkan modal untuk pembikinan. Kadar 50 peratus itu agak tinggi. Ini amat membebankan pembikin filem.

“Saya beri contoh filem Mat Kilau yang berjaya mencipta sejarah menjadi filem dengan kutipan paling tinggi sebanyak RM97 juta. Setengah daripada kutipan itu pergi kepada pengusaha pawagam.

“Sebagai pembikin filem bebas seperti saya untuk cari pembiaya agak susah kerana masalah ini. Ramai pembiaya yang tidak yakin. Saya harap kerajaan dapat meneliti isu tersebut,” katanya.

Tambahnya, sebagai pembikin filem, dia juga berharap agar jumlah dana filem kenegaraan dinaikkan kerana untuk menerbitkan filem seperti itu yang berkualiti memerlukan bajet tinggi.

“Filem kebanyakannya bukan berdurasi 1 jam 30 minit lagi. Ramai sudah mula buat filem berdurasi 2 jam 15 minit dan ke atas seperti filem Mat Kilau.

“Apabila dana filem kenegaraan sudah sama ‘level’ (taraf) dengan dana kandungan digital, jadi di mana letaknya prestij sesebuah filem kenegaraan yang dihasilkan?” soalnya. – 12 Oktober 2023

Topics

 

Popular

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

Related