KUALA LUMPUR – Pengacara All Star Gegar Vaganza (GV10), Elly Mazlein menafikan dakwaan bahawa dia menarik diri daripada menjadi hos rancangan itu kerana sedang berbadan dua atau sengaja mencetuskan gimik.
Menerusi kenyataan dimuatnaik di Insta Story, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 43, memberitahu, pengundurannya dari GV10 adalah keputusannya sendiri dan tiada kena mengena dengan Astro.
“Ini semua bukan salah Astro. Bukan juga gimik seperti Nabil Ahmad cakap. Inilah kenyataan di mana saya sudah pun tinggalkan GV10 buat selamanya. Ya, tiada lagi. Cukup. Ini semua keputusan saya sendiri.
“Saya tak mengandung. Saya, suami dan anak-anak baik-baik sahaja.
“Terima kasih di atas kata-kata semangat dan kasih sayang. Insya-Allah kita jumpa di lain rancangan di Astro nanti,” tulisnya.

Pelantun lagu Janji Kekasih itu juga mengucapkan terima kasih kepada bos di Astro kerana menghormati keputusannya untuk mengundurkan diri dari GV10.
“Terima kasih kerana menghormati keputusan saya. Insya-Allah kita usahakan di program Astro yang lain. Ada bos yang baik juga rezeki,” tulisnya.
Semalam, Astro mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa Elly Mazlein tidak akan meneruskan tugasnya sebagai hos GV10 atas sebab peribadi.
Rancangan itu akan terus dikendalikan dua lagi pengacaranya, Nabil Ahmad dan Jihan Muse. – 12 Oktober, 2023