KUALA LUMPUR – Pelakon, Adam Shahz mengakui dia menerima mesej dari wanita hampir setiap hari di akaun Instagram.
Menurut Adam atau nama sebenarnya Nor Shah Azli Abdul Ghani, 42, ramai wanita ingin berkenalan dengannya, malah ada yang mengajaknya berkahwin.
“Mungkin bagi orang lain ini adalah satu kelebihan apabila dapat mesej daripada wanita hampir setiap hari. Kebanyakan mereka yang DM (mesej peribadi) saya, ajak kahwin.
“Ada seorang pengikut Instagram saya yang mimpikan saya. Dia mesej saya dan beritahu kisah hidup saya dan dia lebih kurang.
“Dia janda yang mempunyai anak. Wanita itu beritahu mimpi terbabit mungkin adalah petunjuk tuhan untuk kami bersama,” katanya ketika ditemui pada sidang media Teater Bangsawan Dang Anum di sini, hari ini.
Kongsi bekas suami kepada Fatin Afeefa itu, dia tidak berani melayan terlalu mesra kerana takut ada antara wanita itu menggunakan akaun palsu dan scammer.
Sejak menduda lima tahun lalu, kata Adam, dia belum terbuka hati mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
“Bukanlah serik. Sebagai seorang lelaki tentunya saya punya berkeinginan kembali berumah tangga.
“Tetapi ketika ini ada banyak benda saya mahu buat sebab saya masih punya ibu. Sebelum ini mungkin saya kurang beri perhatian kepadanya. Kini saya boleh berikan tumpuan sepenuhnya pada ibu saya,” ujarnya.
Menyentuh mengenai perkembangan terkininya dalam bidang seni, Adam memaklumkan, dia bakal muncul sebagai seorang daripada pelakon utama dalam Teater Bangsawan Dang Anum yang akan dipentaskan pada 14 dan 15 Oktober ini di Auditorium Bahagian Sektor Teknologi Pendidikan KPM, Bukit Kiara.
“Ini kali pertama saya diberi peranan agak besar dalam pementasan teater, membawakan watak antagonis sebagai Tun Beja Ali. Sebelum ini saya cuma buat penampilan khas. Dan ini pertama kali saya terbabit dengan teater bangsawan.
“Ini satu cabaran untuk saya kerana tak pernah terlibat dengan teater bangsawan. Cabaran utamanya adalah dari segi dialog kerana kita tak boleh campur adukkan dengan bahasa sekarang. Perlu menggunakan intonasi bahasa Melayu klasik yang betul,” katanya.
Selain Adam, teater arahan Amirul Haswendy itu dibintangi Ain Sufia sebagai Dang Anum, Ammar Titan (Laksamana Bentan) dan Along Eyzendy (Sultan Mahmud). – 6 Oktober 2023