KUALA LUMPUR – Biarpun pernah menerima ugutan bunuh sewaktu membuat persembahan di Johor Bharu, Johor pada Mac lalu, kumpulan berasal dari Indonesia, Radja tidak serik kembali ke Malaysia bagi mengadakan konsert pada 12 November depan di Kuala Lumpur.
Menurut vokalis kumpulan Radja, Ian Kasela, walaupun diakui Radja trauma dengan kejadian itu, ahli kumpulan berkenaan tidak pernah terfikir untuk tidak lagi mahu menjejakkan kaki ke Malaysia.

“Malaysia adalah rumah kedua kami. Tak mungkin kami takkan kembali ke sini lagi.
“Apa yang berlaku dulu adalah salah faham di antara orang tengah dengan pihak penganjur.
“Sejujurnya sebagai manusia biasa, kami memang trauma, tetapi kami cuba berfikiran positif. Ada perkara jauh lebih penting daripada insiden ini, iaitu bagaimana untuk membuat peminat kami kekal bersama kami,” katanya ketika ditemui pada sidang media ‘Live In Concert Radja’ di sini, hari ini.
Tambah Ian, Radja sudah pun memaafkan individu yang membuat ugutan berkenaan.
Sementara itu, menurut penganjur konsert berkenaan, Datuk Fazli Idrus, agak sukar bagi pihaknya untuk memujuk Radja pada peringkat awal kerana mereka trauma dengan insiden beberapa bulan lepas.
“Selepas pulang ke Indonesia, mereka memang sudah serik dan trauma dengan apa yang berlaku.
“Agak sukar untuk kami memujuk mereka. Tetapi selepas kami terangkan dari aspek keselamatan dan bagaimana cara sebenar orang Malaysia menganjurkan konsert, baru mereka terima.
“Kami juga ingin gunakan peluang ini untuk bersihkan nama Malaysia. Peminat di sini tidaklah seteruk seperti digambarkan,” ujarnya.

Sebelum ini, Radja menerima ancaman bunuh daripada dua individu yang dipercayai wakil pihak penganjur selepas mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru pada 12 Mac lalu.
Difahamkan, situasi cemas itu berlaku susulan salah faham yang tercetus antara pihak penganjur dan band berkenaan.
Pihak polis Johor melengkapkan siasatan berhubung dakwaan kes kumpulan muzik Indonesia itu dan dua suspek warga tempatan, ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS).
Konsert Radja yang dibawakan Orange International Entertainment bakal berlangsung pada 12 November ini di Mega Star Arena Kuala Lumpur.
Harga tiket konsert itu bermula dari RM148 hingga RM528. – 4 Oktober 2023