KUALA LUMPUR – Penyanyi Cliff Umar menganggap penyingkirannya di konsert minggu kedua Gegar Vaganza All Start Musim 10 (GV10) adalah lumrah pertandingan.
Bahkan, dia reda apabila menjadi seorang daripada peserta yang tersingkir pada malam itu, selain Suki Low.

“Saya bertanding dengan semua All Stars. Semua orang bawa A Game masing-masing di dalam pertandingan ini dan pada saya, semua orang memberikan yang terbaik. Saya juga percaya dengan penilaian juri dan saya akur dengan segalanya.
“Namun, secara peribadi, saya tidak pernah akan berpuas hati dengan apa yang saya persembahkan. Ini memang ada kaitan dengan penyanyi punya benda.
“Mereka selalunya tidak akan puas hati dengan persembahan sendiri. Saya harap saya dapat buat lebih baik lagi. Tapi, apa saya persembahkan adalah apa diizinkan,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya konsert minggu kedua GV10.
Cliff turut menjelaskan mengenai komen peminat yang mengatakan dia seolah-olah tidak memberikan persembahan all out (terbaik) pada GV10 kali ini.
“Bukan tidak bagi all out tapi yang lain-lain All Stars buat persembahan yang lebih baik lagi. Untuk dipilih di dalam All Stars adalah perkara terbaik buat saya,” katanya.
Malah, beliau menegaskan, tidak timbul soal persembahan itu bagus atau tidak, memandangkan berada di atas pentas bersama semua artis berbakat Malaysia adalah satu penghormatan besar buat dirinya.
“Dinilai sekali lagi Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz dan Bunda Hetty Koes Endang sebagai juri adalah pengalaman (berharga) seumur hidup,” katanya.

Berkongsi momen paling indah pada GV10, dia menganggap ia tercipta apabila berpeluang ‘melepak’ dengan semua penyanyi terbaik di pertandingan itu, antaranya Jaclyn Victor dan Aliff Aziz.
“Saya memang selalu menyokong Aliff Aziz untuk dia menang sewaktu dia di GV8. Dapat berjumpa dengan Zamani adalah satu kenangan terindah. Saya tidak akan dapat lagi pengalaman ini. Bukan tidak pernah jumpa, tapi tak serapat ini.
“(Artis) pertama kali saya jumpa di GV10 adalah Suki Low. Selalu tengok dia di TV (televisyen). Saya memandang tinggi kepada dia kerana dia seorang penyanyi sempurna yang cukup berdisiplin,” katanya.
Cliff juga turut memberitahu bahawa dia tidak ambil hati dengan gurauan Kak Lina Pom Pom terhadapnya pada program itu.
“Dia hanya buat kerja dia. Bagi saya tidak patut pun netizen kecam dia. Dia hanya menghiburkan dan itulah cara hiburan yang memang netizen suka pun sebenarnya.
“Saya sebenarnya, tak dengar pun apa dia cakap. Tak dengar betul-betul. Waktu dia datang belakang pentas untuk minta maaf, saya ‘blur’ sebenarnya. Kenapa dia minta maaf, apa dia buat,” katanya. – 3 Oktober, 2023