KUALA LUMPUR – Pelakon, penyanyi dan pengacara, Elly Mazlein mengakui keputusan untuk muncul dengan watak Elly M sebelum kembali dengan watak asal, Kak Lina Pom Pom dalam konsert minggu kedua, Gegar Vaganza All Stars 10 (GV10) adalah melalui hasil perbincangan dengan pihak Astro, selaku penerbit.
Menurut Elly, apa yang dilakukannya itu adalah kerana dia cuba menerima pandangan semua netizen yang sebelum ini mengkritik hebat corak persembahannya sebagai hos GV10 dengan watak Kak Lina Pom Pom.
“Apabila kita sudah lebih 20 tahun berada dalam industri ini, kita sudah lalui macam-macam dan sudah biasa dengan benda begini (kritikan). Malah, ada kritikan yang lebih teruk lagi daripada ini.
“Atas rasa tanggungjawab sebab ramai cari makan di GV dan disebabkan Kak Lina Pom Pom juga, orang tidak mahu tengok lagi program ini, jadi adalah sebaiknya watak itu dikeluarkan.
“Pada waktu sama, kalau kita cakap sahaja orang tidak akan nampak, jadi kita tampilkan dalam bentuk visual tentang perbezaan watak Elly M dan Kak Lina Pom Pom.
“Tapi, ternyatalah memang ramai yang mahukan Kak Lina Pom Pom. Bila orang jerit dan panggil nama Kak Lina Pom Pom, saya rasa tak baik juga buat mereka tunggu lama-lama,” katanya pada sidang media GV10 selepas berakhirnya konsert itu.
Mengulas tentang wataknya sebagai Elly M sebelum muncul kembali sebagai Kak Lina Pom Pom pada saat-saat akhir atas permintaan ramai, Elly berkata, kalau bukan di atas pentas, begitulah Elly Mazlein.
“Sebagai Kak Lina Pom Pom pula, saya hanya jalankan tanggungjawab untuk hiburkan orang. Kalau jadi Elly M, memang pitam rasanya. Sebab itulah saya munculkan watak Kak Lina Pom Pom ini. Sebab nak hiburkan sesebuah program.
“Tapi saya sedar, kadang-kadang apabila kita seronok, kita lupa diri. Jadi, bila orang tegur makanya orang sayang kita. Saya tidak boleh menidakkan teguran mereka. Bahkan, saya juga turut menghormati segala teguran dan kritikan daripada sesama rakan artis.
“Saya tahu, walau apapun, saya tidak mungkin akan boleh puaskan hati semua orang. Ada yang suka, ada tidak. Tapi, setidak-tidaknya, saya cuba bersikap positif dan cuba untuk buat. Mungkin hari ini orang tak suka saya, tapi mana tahu satu hari nanti mereka akan suka,” katanya yang kelihatan jelita mengenakan fesyen rekaan Wanpa.
Menurut Elly lagi, komen netizen sangat penting buat dirinya kerana mereka sentiasa bersama dengannya ketika waktu dia susah.
“Walaupun ada di antara teguran mereka itu keterlaluan, tapi mereka inilah yang sentiasa menyokong saya. Kalau mereka marah pun, tidak apalah. Mungkin hari ini, mereka marah tapi lepas-lepas tu mereka akan okay,” katanya.
Jelas Elly lagi, sebagai salah seorang tonggak perjalanan sesebuah program, dia harus mengambil kira pelbagai aspek termasuk pandangan semua pihak.
“Saya tidak boleh sombong kerana saya mahu lakukan yang terbaik dalam setiap apa yang saya lakukan, khususnya untuk mereka yang melanggan Astro,” katanya. – 2 Oktober, 2023