KUALA LUMPUR – Ketua dan vokalis kumpulan muzik terkenal Indonesia, Dewa 19, Ahmad Dhani memuji kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Ahmad Dhani atau nama sebenarnya Dhani Ahmad Prasetyo, 51, dia berharap Perdana Menteri Malaysia ke-10 itu dapat membuat perubahan besar terhadap Malaysia.
“Saya sangat berharap Anwar Ibrahim dapat menjelmakan harapan rakyat Malaysia.
“Saya juga berharap beliau dapat menjadi Perdana Menteri paling bagus dalam sejarah di Malaysia,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert A Night At The Orchestra Dewa 19.
Sambil berseloroh, Ahmad Dhani berkata, kedua-duanya pernah dipenjarakan cuma tempohnya berbeza, iaitu Anwar selama 11 tahun, manakala dia 11 bulan.
“Kejayaan Anwar Ibrahim membuatkan saya terinspirasi agar saya juga bisa menjadi contoh di Indonesia,” ujarnya.
Ahmad Dhani juga berkesempatan berkunjung ke pejabat Perdana Menteri pada Jumaat untuk bertemu dengan Anwar.
Turut menemani adalah isterinya, Mulan Jameela. – 30 September 2023.
Foto: Instagram Ahmad Dhani & @echolaliapictures
Caption: Ahmad Dhani berkesempatan mengunjungi pejabat Perdana Menteri pada Jumaat lalu untuk bertemu dengan Anwar