KUALA LUMPUR – Setelah lama menyimpan rahsia tentang status rumahtangganya, akhirnya penyanyi Ruhil Amani Hussein membuat pengakuan bahawa dia dan bekas suaminya, Jamie (Jamil) Wilson sudah bercerai pada tanggal Mei 2019.
Menurut Ruhil, tindakannya merahsiakan mengenai perceraian itu dilakukan sebelum ini kerana mahu melindungi anak-anaknya, Ariana Wilson dan Raayan Wilson yang ketika itu sedang bersekolah dan masih kecil.
“Sebelum ini saya mengambil keputusan untuk tidak memaklumkan pada kawan semua kerana sebagai seorang ibu, tanggungjawab dan keutamaan saya adalah untuk melindungi anak saya Ariana yang pada ketika itu berusia 15 tahun dan akan menduduki peperiksaan penting IGCSE dan anak saya Raayan yang baru sahaja berusia lebih kurang 8 tahun.
“Tumpuan saya adalah untuk memastikan mereka berdua dapat menyesuaikan diri dengan situasi kehidupan yang baru kerana perceraian buat sesiapa saja, tidak akan pernah adil buat anak-anak,” katanya dalam satu hantaran dimuat naik di Facebook miliknya, sebentar tadi.
Jelas Ruhil lagi, pengakuan mengenai status situasi rumahtangga itu terpaksa dibuat selepas ramai yang bertanya mengenainya dan selepas berbincang dengan anaknya-anaknya, dia berharap kenyataan yang diberi itu dapat mengelakkan sebarang tanda tanya dan salah faham yang boleh menimbulkan fitnah.
“Saya sentiasa sedar sebagai anak seni, dari dahulu sehingga sekarang, tidak mungkin saya akan dapat berdiri sendiri tanpa sokongan pelbagai pihak yang percaya pada saya, prihatin dan sentiasa mendoakan saya selama ini.
“Sejujurnya, dari awal penglibatan saya sebagai anak seni sehingga sekarang, saya lebih selesa memilih untuk berkongsi perjalanan hidup saya sebagai anak seni daripada berkongsi cerita tentang kehidupan peribadi saya.
“Punca penceraian tidak perlu saya nyatakan disini. Kalau boleh cukuplah sekadar famili, teman rapat dan mereka yang tahu, tahu puncanya. Perkara ini sudah lama berlalu. Sudah takdir, setakat itu saja jodoh kami.
”Saya dan anak-anak redha dengan percaturan Allah SWT. Dan, Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan famili dan teman rapat, saya dan anak-anak dapat menyesuaikan diri, meneruskan kehidupan dan bahagia dengan fasa kehidupan kami yang baru,” katanya.
Ruhil juga mengakui bersyukur kerana dianugerahkan oleh Allah SWT anak-anak yang baik, kuat dan matang dari usia mereka.
“Anak-anak adalah anugerah yang paling indah dan tak ternilai buat saya. Semenjak bergelar seorang ibu, saya sentiasa berdoa yang saya dapat memberikan yang terbaik buat Ariana dan Raayan.
“Segala keputusan yang saya ambil semenjak mereka dilahirkan, saya mencuba sedaya upaya saya dan sebaik yang mungkin untuk mengutamakan kepentingan mereka, memayungi mereka dan untuk tidak mengecewakan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Ruhil turut mengucapkan rasa terharu, terima kasih dan penghargaan pada teman media yang selama ini menyimpan kisah perceraiannya.
“Terima kasih kepada rakan media yang saya hormati kerana memberi ruang buat saya dan anak-anak, memahami perasaan dan tujuan saya untuk melindungi Ariana dan Raayan dan tidak menulis atau memaklumkan di ruang media masing-masing, walaupun sudah bertahun-tahun sebenarnya mereka maklum tentang perceraian saya,” katanya. – 27 September, 2023