KUALA LUMPUR – Rasanya, ramai yang sudah meluangkan masa untuk menonton filem aksi ketenteraan hebat, Malbatt: Misi Bakara arahan Adrian Teh yang berjaya membuat kutipan pecah panggung lebih RM32.5 juta selepas lima minggu ditayangkan di pawagam.
Dalam perkongsian terbaharu salah seorang pelakon Mallbatt iaitu Syazwan Zulkifly, dia mengakui penglibatannya di dalam filem mega bajet itu adalah disebabkan teraju utamanya, Hairul Azreen yang digelarnya sebagai Cha.
“Terima kasih kepada semua yang sudah menonton filem Malbatt: Misi Bakara di pawagam. Adalah satu penghormatan yang amat besar untuk saya apabila terlibat dalam sebuah filem yang hebat seperti ini.
“Saya juga nak berterima kasih kepada insan yang bernama Hairul Azreen .Beliau adalah the real reason bagaimana saya boleh terlibat dalam sebuah filem yang berskala besar dan hebat seperti ini. Terima kasih Cha!!
“Kali pertama saya kenal dan berkerja dengan beliau adalah 11 tahun lepas di mana kami terlibat dalam sebuah drama bertajuk inderajoned dan Malbatt: Misi Bakara adalah kali kedua dan yang terakhir saya dapat berkerja dengan beliau kerana beliau telah pun mengumumkan pesaraan dalam bidang lakonan baru-baru ini.
“Cha, andai hang ubah fikiran untuk kembali berlakon, aku bet ramai yang akan happy cha! Terima kasih atas segalanya Cha,” katanya.
Syazwan juga mengucapkan terima kasih kepada Adrian dan syarikat produksi Act2 Pictures yang telah memberi peluang kepadanya untuk terlibat dalam pembikinan projek filem Malbatt.
“Toiyen (panggilan untuk Adrian), anda adalah Penerbit dan Pengarah paling hebat yang pernah saya bekerjasama.
“Saya benar-benar ingin bekerja dan melihat bagaimana anda bekerja selepas menonton Paskal. Terima kasih banyak Toiyen untuk peluang ini dan saya sangat menghargainya,” katanya.
Syazwan turut memberikan penghargaan kepada semua rakan pelakon lain yang terlibat di dalam filem tersebeut dan berharap mereka akan dapat bekerjasama lahgi di masa akan datang. – 27 September, 2023