KUALA LUMPUR – Tidak tersenarai dalam barisan ‘hot seats’ untuk Gegar Vaganza musim ke-10, (GV10) penyanyi popular Shila Amzah dikatakan bakal menyertai program Famili Duo yang disiarkan di TV3.
Wajah Shila dan adiknya Syahir telah muncul dalam promo terbaru di akaun media sosial TV3. Biarpun tidak mendedahkan butir lengkap, namun ramai netizen meneka bahawa dua beradik itu bakal muncul dalam program Famili Duo.
Famili Duo dikhabarkan akan bersiaran tidak lama lagi, dan barisan peserta untuk musim ketiga akan diumumkan pihak produksi dalam masa masa terdekat.
Sebelum ini ramai peminat Shila yang kecewa apabila namanya tidak tersenarai di antara enam peserta ‘hot seats’ GV10 yang telah pun bersiaran sejak Ahad lepas. Mereka yang terpilih menerusi undian dalam talian ialah Tomok, Zamani, Ezad Lazim, Nikki Palikat, Suki Low dan Liza Hanim.
Jika benar Shila dan adiknya bakal menyertai Famili Duo, pastinya musim kali ini akan jadi lebih menarik untuk ditonton. – 27 September, 2023