KUALA LUMPUR — Penyanyi Adira Suhaimi mengaku telah melakukan proses mengikat saluran peranakan selepas mendapat persetujuan daripada suaminya, Datuk Adenan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red.
Menurut Adira, keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada doktor yang memaklumkan dia bakal menghadapi risiko untuk melahirkan anak yang seterusnya selepas melalui proses bersalin melalui pembedahan (caesarean) untuk keempat-empat cahaya matanya sebelum ini.
“Sebelum ini, memang saya rancang untuk dapat anak sebelum usia 30 tahun. Alhamdulillah, saya bersyukur sangat-sangat sebab dah dapat dua anak lelaki serta dua anak perempuan.
“Saya juga tak mahu ambil risiko untuk melahirkan anak lagi selepas apa yang doktor beritahu. Lagipun saya mengandung anak yang terakhir pada usia 30 tahun. Energi dah tak sama.
“Kalau bawah usia 30 tahun, energi masih okay. Tapi, dah 30 tahun, memang ke laut. Tak tahulah lain. Tapi itu yang saya rasa,” katanya.
Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 31, juga berkata, keputusan mengikat saluran peranakan itu juga satu keputusan tekad yang dilakukannya.
“Saya memang tidak mahu ada anak lagi. Sebab saya tak mahu nanti, bila anak-anak saya dah besar tiba-tiba saya ada seorang lagi anak seorang. Saya nak semua membesar sama-sama. Macam adik-beradik saya. Semua dekat-dekat dan membesar bersama-sama,” katanya.
Pun begitu, Adira mengakui, membesarkan empat cahaya mata yang masih kecil semuanya bukanlah suatu tugas yang mudah.
“Alhamdulillah, ada orang yang membantu. Tapi, walaupun kita ada pembantu, tak semua benda kita boleh serah macam itu sahaja,” katanya.
Mengenai perubahan vokalnya, Adira tidak menafikan bahawa melahirkan empat cahaya mata sedikit sebanyak telah menjejaskan kualiti vokalnya dan membuatkan ia kedengaran berbeza.
“Selain itu, ia juga disebabkan faktor umur kerana faktor matang suara seseorang bergantung pada faktor umur. Kalau nak kekalkan balik suara tu, memang kena masuk kelas vokal semula. Kena buat.
“Kena COVID dan influenza pun suara ke laut jugak. Kalau kena, esok nyanyi suara memang akan semput atau tidak sampai.
“Saya dah pernah kena COVID. Dan dua bulan lalu, saya kena influenza. Kesannya lebih teruk daripada COVID sebenarnya. Tapi, saya buat treatment iaitu membuat yoga untuk memperbetulkan teknik breathing. Sekarang, okaylah sikit,” katanya.
Kerap memuat naik konten-konten tentang kehidupannya sebagai seorang ibu bersama anak-anaknya di media sosial seperti Instagram dan TikTok, bagi Adira, rugi baginya jika memiliki platform global yang diikuti ramai tersebut tetapi kita tidak aktif dan tidak mahu menjadi kreatif.
“Sebab sekarang ini, platform di media sosial sangat viral. Kita buat kat rumah dan tidak keluar kat TV sangat pun dah okay,” katanya.
Tentang duetnya bersama Khai Bahar dalam lagu Pejam, Adira berkata, bila penyanyi lelaki baharu itu mahu berduet dengannya, dia tanpa berfikir panjang menerima pelawaan tersebut.
“Sebab suaranya cukup bagus dan cukup unik. Sebelum ni saya selalu berduet dengan Hafiz, jadi saya ingin cuba pula berganding dengan Khai Bahar.
“Awalnya saya tidak tahu sama ada dapat cari keserasian dengan Khai. api, bila kita masuk studio, tak sangka pula kita ada ‘chemistry’ yang kuat,” katanya. – 23 September, 2023