KUALA LUMPUR — Penyanyi muda, Aisha Retno mengakui terkesan dengan perpisahan yang melibatkan selebriti-selebriti terkemuka tanah air seperti yang dipaparkan di dalam media tempatan.
Aisha berkata, gelombang berita perpisahan selebriti tersebut, seperti yang dipaparkan melalui medium media tempatan telah membangkitkan rasa simpati yang cukup mendalam buat dirinya.
Hal itu telah mencetuskan inspirasi buatnya untuk menghasilkan single terbaharu berjudul ‘Ternoktah’ yang merupakan lagu ciptaan bersama dua lagi komposer berbakat iaitu Hanis Rafi dan Firdaus Rahmat.

“Daripada apa yang dipaparkan ini, saya cuba meluahkan ia melalui lagu yang mengisahkan kisah perpisahan dengan seseorang yang amat disayanginya. Saya cuba gambarkan tentang perasaan yang sudah berakhir dan berasa tawar hati akan sesuatu yang dicintai.
“Sebetulnya, perpisahan bukan perkara janggal, ia normal dan banyak berlaku dalam masyarakat, sudah nama pun manusia biasa dan suatu perkara yang jelas, mencintai tidak bermakna memiliki, meskipun cinta masih bersemayan di hati seseorang, tidak semestinya dapat memiliki.
“Pepatah orang lama juga ada menyentuh tentang hal ini,” katanya.
Memegang watak Melly dalam drama muzikal, Aisha, atau sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 23, tidak menafikan bahawa ‘Ternoktah’ mempunyai kaitan dengan dirinya dan pernah melalui perkara yang sama.
“Buat masa sekarang saya lebih senang memberi tumpuan kepada bidang kerjaya nyanyian, lakonan dan pengacara. Semestinya banyak perkara turun naik yang berlaku dalam kehidupan saya.
“Namun semua itu saya terima dengan hati yang terbuka dan akhirinya dengan damai serta mengambil ia sebagai pengajaran dalam kehidupan.
“Bagi saya, jika kita mengalami rasa kekecewaan daripada perpisahan, kita harus redha dan terima hakikat sambil berusaha mencari jalan penyelesaian bagi meneruskan kehidupan dan berusaha mencari kebahagian pada masa yang akan datang ,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Aisha yang pernah menerima pencapaian Anugerah Emas (SAMIs) dengan penjualan lagu ‘W.H.U.T’ (Wanna Hold U Tight) di Zepp Kuala Lumpur pada 23 November ini.
‘Ternoktah’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. – 21 September, 2023