KUALA LUMPUR – Pelakon kacak, Redza Rosli mengakui berdepan sedikit tekanan untuk menerajui drama Luruhnya Bunga Cinta yang diadaptasi daripada drama siri Korea popular, Autumn In My Heart, apatah lagi perlu membawakan watak sebagai Yoon Joon-suh lakonan, Song Seung-heon.
Namun, dalam drama arahan Muhamad Riza Baharudin yang dihasilkan sebanyak 20 episod itu, Redza membawa watak sebagai Nuh.

“Semua orang tahu drama ini. Ia bukan sahaja popular tetapi turut mencetuskan fenomena bahkan, ia juga sudah dijadikan versi tempatan di enam negara lain.
“Saya sendiri mengambil sedikit masa untuk menerima tawaran ini. Saya juga tertanya kenapa saya dipilih. Tapi, saya juga percaya ini soal rezeki.
“Apabila sudah diberi kepercayaan dan tanggungjawab, saya tidak akan menolak rezeki ini dan cuba memberikan komitmen sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui pada sidang media Luruhnya Bunga Cinta.
Menurut Redza lagi, dia juga mengambil sikap terbuka andai akan segelintir peminat drama yang cuba membandingkan corak lakonannya dengan Song Seung-heon.
“Memandangkan ia sebuah drama adaptasi, maka Luruhnya Bunga Cinta tidak mengikut serratus peratus Autumn In My Heart kerana ia perlu disesuaikan dengan acuan budaya, adat serta tradisi kita. Ada babak kita ikut dan ada yang tidak.
“Sebagai pelakon drama Melayu, mustahil juga saya hendak terikut-ikut dengan cara Korea. Ini drama Melayu, jadi kita kena ikut cara Melayu. Kalau netizen hendak buat perbandingan atau hendak cakap apa sahaja, itu hak mereka.
“Kita jangan ambil negatif dengan kata-kata mereka. Mungkin, sebelum ini ada kerja-kerja saya terlepas pandang yang orang cakap pasal saya. Orang berhak cakap apa sahaja pasal saya,” katanya lagi.

Sering membawakan watak hero romantik yang mempunyai jalan cerita atau penampilan lebih kurang sama, Redza berkata, sebolehnya dia mahu diberikan masa setiap kali menerima watak sebegini.
“Ada saya baca orang cakap pasal isu rambut saya sama dalam beberapa. Tapi, kita kena faham cara kita bekerja di negara ini tidak sama dengan cara orang luar bekerja. Sebab kita ada dateline yang perlu dikejar.
“Saya juga kena hormati pelakon lain punya jadual kerja. Kalau nak tunggu rambut saya panjang, mungkin tidak sempatlah drama ini dibuat.
“Lagipun, ada stesen TV juga mahukan saya. Alhamdulillah, tak sempat habis satu job saya ditawarkan lagi job lain. Tapi, memang tidak sempat tukar imej disebabkan mengejar dateline,” katanya. – 19 September, 2023