KUALA LUMPUR – Penyanyi Alif Star bersama kumpulannya The Locos menjadi artis tempatan pertama yang dipilih oleh syarikat pelayaran antarabangsa, Resorts World Cruises untuk menjayakan kempen Sayang Lokal.
Melalui siri kempen pertama hasil kerjasama strategik di antara Resorts World Cruises dengan Warner Music Malaysia itu, Alif Satar & The Locos diberi peluang untuk melancarkan album mereka dan mengadakan persembahan mini di atas kapal pelayaran Genting Dream di Port Klang, Malaysia.
Alif Satar & The Locos sewaktu diwawancara berkata, mereka benar-benar teruja apabila diberi peluang untuk membuat pelancaran album dan pada waktu yang sama beraksi di atas kapal pelayaran yang mewah itu.
“Ini adalah album pertama kami sebagai sebuah kumpulan. Ia cukup bermakna sekali apabila ia diadakan di sini. Ia ibarat impian yang menjadi kenyataan bagi kami kerana bukan setiap hari kami berpeluang melancarkan dan beraksi di atas kapal.
“Kami juga gembira kerana dapat mencipta pengalaman dan kenangan unik baru bagi kumpulan kami, tetamu dan juga peminat yang turut hadir pada hari ini.
“Kami harap mungkin di masa akan datang, kami akan dapat beraksi di atas kapal ini sambil kita semua belayar bersama-sama,” katanya di hadapan lebih 50 pengamal media, peminat dan tetamu jemputan.
Mengulas tentang album pertama mereka yang turut menggunakan judul Alif Satar & The Locos, Alif menyifatkan kemunculan album tersebut ibarat satu mercu tanda terhadap kematangan mereka bersama dalam kerjaya muzik mereka.
“Walaupun muzik kami agak ‘tutty fruity’ macam lagu orang muda, tapi selepas 17 tahun kami kenal antara satu sama lain dan datang dari pelbagai latar belakang yang berbeza, akhirnya kami dapat menyatu dan terlibat bersama di dalam proses pembikinan album ini.
“Kami ibarat ulat beluncas yang kemudian menjadi rama-rama. Ia cukup signifikan sekali dengan diri kami terutama saya sendiri, daripada seorang penyanyi solo, kini bersama kumpulan. Dan secara muzikal pula, saya terlibat sepenuhnya dalam keseluruhan proses.
“Kalau dulu, waktu saya keluarkan tiga album solo, umur saya masih lagi muda. Saya hanya sekadar bagi idea apa yang saya mahu dan apa yang diperlukan. Tapi, dalam ini, bila bermula lagu I want You To Love ini, lagu Raihan yang kami buat, kolaborasi lagu nasyid yang kitaorang buat, lagu Anugerah Terindah, ia macam lepas kepuasan.
“Akhirnya saya dapat terlibat sepenuhnya dan dapat meluahkan ekspresi muzik sendiri tanpa perlu cuba untuk menarik perhatian sesiapa,” katanya.
Album Alif Satar & The Locos memuatkan tujuh lagu yang kebanyakannya adalah ciptaan mereka sendiri dan beberapa lagi lagu adalah hasil kolaborasi bersama komposer dan penyanyi lain iaitu Anugerah Terindah, LelakiXSempurna.
LelakiXSempurna menampilkan Diandra Arjunaidi, Toxic, Isteri, Hey! dan Senyum.
Mengenai Kempen Sayang Lokal, insiaitif itu diwujudkan memberi peluang kepada bakat Malaysia dan perniagaan tempatan untuk membolehkan mereka mencapai khalayak yang lebih meluas di dalam dan luar negara. – 14 September, 2023