KUALA LUMPUR- Kalau dah tekak Melayu, pergi mana pun pasti kita mahu mencari makanan yang pedas-pedas dan mempunyai persamaan dengan juadah Malaysia.
Itulah yang turut berlaku kepada pelakon dan pengacara Juliana Ibrahim, 34, yang kini sudah menetap bersama suaminya, Peter Aardewerk di Amsterdam, Belanda.
Dalam satu hantaran video yang dimuatnaik Juliana, dia memberitahu bahawa dia teringin sekali menikmati juadah hot pot yang lebih kurang sama dengan steam boat, walhal pada musim panas orang-orang di sana kebiasaannya akan makan salad.
“Saya beritahu Peter, jom makan hot pot. Ini adalah kali pertama kami menikmatinya. Sejujurnya, cuaca ketika ini agak panas. Saya kata di Malaysia panas setiap hari dan kita tidak perlu menunggu waktu sejuk untuk pergi makan dan hot pot.
“Di Holland, nak tunggu sejuk baru boleh makan makanan bersup. Bila musim panas, mereka hanya akan makan salad. Macam tekak Melayu saya ini, memang tidak lalu untuk makan salad sepanjang waktu,” kata pelakon filem Spilt Gravy ini.
Jelas pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-32 (FFM32) ini, sudah tentulah suaminya itu bersetuju dan mendengar katanya untuk makan hot pot.
“Memang rasa macam outing di Malaysia dan penuh keseronokan. Kita sebagai rakyat Malaysia selalunya tidak sabar-sabar untuk makan di tempat-tempat yang kasual seperti ini dan ia akan mengingatkan kita kepada negara kita.
“Di mana kita akan sentiasa melepak dengan rakan dan keluarga, tidak kira di mana atau bila atas apa jua sebab. Terutamanya untuk luangkan waktu menyeronokkan bersama,” katanya.
Juliana juga memberitahu dia pasti akan datang lagi untuk menikmati hot pot di restoran itu kerana daging halal turut disediakan dan pelanggan juga berpeluang untuk membuat sos cicah mereka sendiri. – 14 September, 2023