KUALA LUMPUR – Pelakon popular, Janna Nick memberitahu dia terpaksa berjauhan dari suaminya, Dini Schatzmann selama dua minggu kerana perlu menjalani penggambaran drama di Tanah Suci Makkah, sekali gus menunaikan umrah.
Menurut Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 28, sejak berkahwin dengan suaminya pada Jun lalu, ini kali pertama mereka akan berjauhan untuk tempoh masa yang lama.
“Aduh… dua minggu saya terpaksa tinggalkan Dini untuk ke Mekah jalani penggambaran. Selepas berkahwin, inilah tempoh paling lama kami akan berjauhan.
“Tetapi kita pun pergi ke tempat suci, dalam bekerja kita dapat beribadah.
Sebenarnya kalau diikutkan saya nak bawa suami bersama, tetapi disebabkan ini adalah urusan kerja, rasa macam tak manis pula angkut suami sekali.
“Saya seorang yang profesional. Bagi saya kerja adalah kerja. Kalau betul nak pergi beribadah, nanti kita boleh pergi lagi,” katanya kepada Scoop.
Ditanya sama ada dia akan okay sepanjang tempoh itu, kata Janna sebelum berkahwin pun dia sudah biasa hidup sendirian.
“Saya okay sahaja. Takkanlah tak okay. Di sini pun saya jarang bawa suami pergi ke set penggambaran.
“Suami hanya akan teman kalau pembantu peribadi saya cuti sahaja,” katanya.
Janna berangkat ke Makkah untuk urusan penggambaran drama bersiri Surat Dari Tuhan.
Selain Janna, beberapa pelakon lain turut berangkat ke sana bersamanya termasuklah Shukri Yahya, Ummi Nazeera dan Azhan Rani. – 12 September, 2023